"Sentiasa Menghadap Kiblat Kalau Kami Bertengkar...Sentiasa Di Sisi Waktu Saya Sakit" - Aaron Aziz Dedikasi Ucapan Sempena Birthday Isteri

ZULHILMI JALIL
April 15, 2020 06:37 MYT
Pelakon Datuk Aaron Aziz melayangkan ucapan dedikasi khas sempena sambutan ulang tahun kelahiran isterinya, Datin Diyana Halik yang ke-38 hari ini.
Menurut Aaron, isterinya merupakan salah satu nikmat yang cukup besar dan berharga yang diterimanya dalam hidup.
"Syukur dijodohkan dengan seorang isteri yang menerima keburukkan dan kekurangan saya. Sentiasa di sisi waktu saya sakit.
"Sentiasa meningkatkan ilmu dalam agama untuk mengajar anak-anak tentang sunnah dan hadith. Sentiasa menghadap ke kiblat kalau kami bertengkar. Happy Birthday Dar. Kamu adalah nikmat daripada Allah," tulisnya menerusi satu posting yang dimuat naik di Instagram.
Dalam posting tersebut, Aaron turut berkongsi gambar kenangan dirinya bersama isteri tercinta ketika di Tanah Suci Makkah.
"Ya Allah, gambar ini diambil dua hari sebelum kerajaan Saudi membatalkan semua penerbangan ke Tanah Suci. Bukan nak kata riak tapi ingin meluahkan syukur kepada Allah dapat ke Tanah Suci.
"Ramai yang belum dapat rasa nikmat tu. Saya doakan semua dapat Insya-Allah satu hari nanti. Jadi, sempena hari jadi isteri saya yang ke-38, saya ingin mengucapkan syukur Alhamdulillah atas segala nikmat yang diberi Allah," coretnya.
Di ruangan komen, Diyana turut meluahkan rasa bertuah kerana dikurniakan seorang lelaki yang menjadi pelengkap dalam hidupnya.
"Saya bersyukur kepada Allah kerana memberikan saya, kamu sebagai satu nikmat. Semoga Allah merahmati kamu. Love you sampai syurga, Insya-Allah," tulisnya.
Aaron mendirikan rumah tangga dengan Diyana pada 3 Ogos 2003.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata, Danish Anaqi, 15, Dwi Ariana, 13 dan Dalia Arissa, 9.
Apapun, jangan lupa saksikan drama lakonan Aaron Aziz di Astro pada telefon pintar anda melalui aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang.
#Aaron Aziz #Birthday #Diyana Halik