Gandingan duo Muhammad Noor Izaat dan Farhan Azman yang menamakan kumpulan mereka sebagai IzaatFarhan tampil dengan debut mereka berjudul Manuskrip Cinta.

Lagu hasil karya Bangjat dan Restu Hadi serta lirik oleh Bangjat itu baru saja dilancarkan di seluruh platform digital pada 21 Ogos 2020 yang lalu.

Ditanya mengenai mesej yang cuba disampaikan dalam lagu ini melalui video muziknya, Izaat menjawab:

"Kami cuba menyentuh isu yang agak sensitif di dalam masyarakat iaitu zina kerana masalah ini kelihatan semakin membimbangkan terutama di kalangan remaja yang bercinta.

"Kami cuba memberi gambaran kepada masyarakat bahawa hubungan sebelum perkahwinan itu boleh menjerumuskan mereka ke kancah zina bahkan membawa kesan lebih buruk seperti kes buang anak dan pembunuhan," kata Izaat.

Gandingan duo ini tampil berani dengan sebuah muzik video arahan Rasyid Amir dan Tengku Izman yang memaparkan kisah pasangan bercinta yang terjebak dengan zina dan hamil luar nikah sehingga akhirnya berlaku jenayah pembunuhan.

Pembikinan lagu Manuskrip Cinta melibatkan Wan Saleh dan J Ratno sebagai penyusun muzik dan juruadun, manakala rakaman sepenuhnya di buat di studio Inteam Digital.

Duo IzaatFarhan merupakan juara pertandingan Nasyid Starz yang pernah dianjurkan oleh syarikat Inteam Digital beberapa tahun lalu yang menawarkan hadiah penerbitan lagu oleh syarikat tersebut.

"Manuskrip Cinta ini adalah hadiah dari pertandingan Nasyid Starz sempena Festira atau Festival Ramadan yang pernah kami juarai dulu yang mana ketika itu kami bertiga di dalam kumpulan AIA sehinggalah seorang lagi anggota AIA telah menarik diri atas faktor komitmen, maka kami tampil sebagai duo IzaatFarhan.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak Inteam Digital kerana memilih kami dan membantu kami sehingga terhasilnya single pertama kami ini," tambah Farhan pula.

Manuskrip Cinta kini boleh didengari di seluruh platform penstriman digital seperti Spotify, Deezer, KKBox, Apple Music, Joox dan lain-lain manakala video muziknya boleh ditonton di rangkaian Youtube Inteam Digital.