Sejak pagi tadi (Ahad), sosial media kecoh apabila usahawan kontroversi Nur Sajat berketerampilan wanita ketika menunaikan umrah.

Rata-rata netizen tidak berpuas hati apabila Sajat mula berkongsi fotonya di laman sosial Instagram (IG), tambahan lagi apabila dia mengenakan telekung dan lengkap berjubah serta bertudung labuh.

Gara-gara itu, agensi pelancongan yang membawa Sajat dan keluarga menunaikan umrah, iaitu Albayttravel Sdn. Bhd. teruk dikecam netizen.

Rata-rata warga net meninggalkan komen kurang senang terhadap agensi terbabit sehingga ada yang menggelarkan mereka penunggang agama.

Ada juga yang mahu agensi ini diboikot dan mendakwa mereka seperti sengaja 'menutup mata' terhadap isu yang sedang hangat diperkatakan itu.

Bagaimanapun pihak agensi menjawab tuduhan dan persoalan dilemparkan warga net menerusi ruangan komen salah satu posting mereka di laman sosial Facebook (FB)

Pihak Albayttravel menjelaskan, mereka hanya membantu permudahkan umrah dan menyarankan agar mengikut garis panduan ditetapkan.

“Sekiranya lelaki semestinya dengan penampilan lelaki sebaliknya untuk perempuan. Jadi sepanjang pelepasan semuanya mengikut garis panduan ditetapkan Cuma sebaliknya berlaku bila di sana,” jelas mereka.

Mereka turut memohon agar mendoakan Sajat dan yang bersamanya mendapat hidayah dari Allah SWT.

“Mudahan di sana Allah SWT tunjukkan kebenaran. Hanya dia dan Allah SWT yang kenali dia dan kami di Albayt Travel hanya bantu permudahkan urusan tetamu Allah.

“Yang selebihnya hanya Allah yang tahu. Sama-sama doakan supaya Allah tunjukkan jalan yang benar kepadanya. Doakan yang baik-baik mudahan Allah SWT berikan yang terbaik buat mereka,” tulis mereka di FB.

Namun begitu masih ada warga net yang tidak berpuas hati dan menganggap jawapan diberikan agensi tersebut seperti mengambil jalan mudah.

Sajat sebelum ini sering dikaitkan dengan kontroversi yang membabitkan jantina sebenarnya.

Bagaimanapun usahawan kosmetik dan emas itu tetap dengan pendiriannya mengatakan dia merupakan seorang wanita.