Laman Utama
“Sepatutnya Arwah Nyanyi Lagu Saya…Tak Terfikir Akan Ada Pengganti Arwah Untuk Nyanyi Lagu Tu…” – Naim Daniel
Penyanyi dan komposer muda Naim Daniel mengakui tidak terfikir mencari penyanyi lain menggantikan Allahyarham Siti Sarah untuk mendedangkan lagu ciptaannya.
Naim berkata, Allahyarham Siti Sarah ada meminta karya daripadanya tahun lalu selepas beberapa bulan lagu Sumpah menjuarai Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-34.
Bagaimanapun hasrat dan impian Allahyarham untuk melancarkan lagu tersebut pada tahun ini tidak kesampaian.
"Arwah mesej saya di Instagram dan dia yang membahasakan diri sebagai kakak itu turut memuji karya ciptaan saya.
“Dia sempat bergurau dan kata dia nak semua lagu-lagu saya di pentas AJL. Jadi dia tanya bila demo boleh siap kerana nak lagu tu bertanding di AJL,” katanya.
Kata Naim lagi, dia menyiapkan demo lagu berentak balada tanpa judul itu selepas tiga hari mesej peribadi dihantar arwah kepadanya.
“Saya terus bagi demo kepada kak Sarah dan dia suka…Ada jiwa kata dia. Arwah juga sudah merakamkan versinya sendiri untuk lagu berkenaan.
“Malah versi video yang dirakamkan bersama iringan piano oleh arwah Faizal Uzir atau lebih dikenali dengan panggilan Lok-U pun ada.
“Mengenai judulnya pula, Shuib selalu merujuk karya itu dengan judul Sudah kerana baris pertama lirik bermula dengan perkataan berkenaan.
"Saya pula selesa menamakan lagu itu dengan judul sementara, Sendiri. Entahlah, setiap kali dengar arwah menyanyi lagu itu akan rasa sedih sangat dan timbul perasaan menyendiri.
“Saya sendiri hingga saat ini bagai tidak terfikir akan ada pengganti penyanyi lain untuk menyanyikan lagu itu," katanya.
Tambah Naim, lagu tersebut berkisarkan ironi sebuah kehilangan.
“Suratan atau kebetulan. Saya sendiri hilang punca bila dapat tahu arwah pergi buat selamanya pada Isnin lalu.
“Tapi ketika dalam proses pembikinan lagu tersebut, arwah ada pesan supaya tak terburu-buru dan jangan cincai.
"Permintaan arwah ketika itu nak saya buat secara kemas dan 'cantik'. Seterusnya arwah bercita cita mahu hantar lagu itu ke produksi di Indonesia bagi penambahbaikkan susunan muzik.
"Kita sendiri tahu bagaimana indah komposisi lagu balada di sana. Hasrat memasarkan lagu itu tahun ini awalnya terbantut kerana arwah disahkan hamil anak keempat.
"Saya faham situasi berkenaan. Namun siapa sangka, Allah lebih menyayanginya kerana lebih dulu meninggalkan kita semua," katanya.
Must-Watch Video