Penyanyi Aina Abdul bersyukur kerana berjaya menyiapkan kertas kajian tesisnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tidak mengabaikan pengajian, Aina merupakan pelajar tahun akhir Sarjana Muda Muzik di Universiti UCSI.

"Sepatutnya, saya bakal menamatkan pengajiannya pada Ogos ini. Tapi, dek kerana PKP, saya belum pasti apakah perkembangan terbaru.

"Apapun, saya bersyukur kerana semua kajian tesis sudah disiapkan. Alhamdulillah. Kelas pun semuanya sudah selesai, memang tunggu waktu bergraduasi sahaja," kata Aina.

Gembira kerana penat lelahnya berbaloi, Aina bersyukur kerana pengorbanan membahagikan masa antara pelajaran dan pengajian membuahkan hasil.

"Agak sukar sebenarnya mahu belajar sambil bekerja dalam bidang muzik. Menyanyi minat saya tetapi saya sedar tanpa pelajaran, saya tak boleh pergi jauh.

"Saya sangat gembira kerana akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian dan saya tak sabar mahu menggenggam ijazah sarjana muda," kata Aina.

Dalam perkembangan lain, pelantun lagu Semalam ini bakal mengeluarkan single baru yang dijangka keluar pada Ogos atau September ini.