Hiburan
Sepupu Fatin Afeefa Mahu Tuntut Hak Keluarga
Sepupu kepada aktres Fatin Afeefa iaitu Shariz Rosee, 27, mendakwa dia berkeras mahu menuntut hak keluarga mereka daripada ibu pelakon tersebut.
Ketika dihubungi Gempak, Shariz mendakwa sudah empat tahun mereka cuba untuk menyelesaikan isu itu.
"Dah empat tahun perkara ini. Dari tahun 2016 sampai 2020 tidak nampak jalan penyelesaian.
"Saya terfikir kenapa selama ini kami tanya secara elok tapi tak pernah bagi jawapan.
"Bila dah viral macam ini, telefon saya ajak berbincang secara empat mata. Apa lagi ingin disorok?
"Kalau selesaikan dalam keluarga pun boleh ke dapat hak kami? Bukan tak nak berbincang tapi ini cara nak mengajar orang seperti ini," katanya.
Sebelum ini, pelakon drama Cindai itu mengakui sudah melantik peguam berkaitan hal terbabit.
Tambah Shariz, dia tidak ingin keluarganya ditindas justeru dia mendakwa mahu tampil menuntut hak yang sepatutnya menjadi milik kami.
"Kami adik beradik ni ada 11 orang. Kami semua bukan nak harta itu sepenuhnya, dapat sikit jadilah.
"Kalau dia bagi kami adik-beradik sedikit wang, dia tak akan jatuh miskin pun. Harga tanah itu mahal, arwah ibu saya pernah cakap.
"Kalau dia tunaikan tanggungjawab sebagai pemegang amanah, kami tak akan bising.
"Disebabkan perangai tamak dia, tengok apa yang jadi. Kami bukan dengki dengan kehidupan mewah mereka sekeluarga.
"Kalau kami terus diam, mesti mereka fikir keluarga kami senang ditindas. Sekarang memang ibarat bertemu buku dengan ruas.
"Lebih baik perkara ini diselesaikan di mahkamah. Tunjukkan bukti, kami nak tengok!" dakwanya lagi.
Terdahulu, Shariz tampil membuka mulut membuat dakwaan di laman Twitter miliknya mengenai keluarga Fatin Afeefa.
Must-Watch Video