Pelakon prolifik, Faizal Hussein akui teruja menjayakan peranan Tok Ayah dalam telefilem seram berjudul Mati Hidup Balik.

Kata Faizal, 56, ini merupakan pengalaman keduanya membintangi naskhah bergenre seram selepas telefilem komedi seram The Hantus arahan Nabil Ahmad.

"Kali ini saya terlibat dalam sebuah telefilem hantu yang serius. Bukan sahaja saya dapat membawakan watak hero iaitu watak utama tetapi dalam masa yang sama, saya juga dapat menjadi hantu," ujarnya.

BERITA TRENDING: Buat TikTok Untuk Kekal Relevan, Faizal Hussein Tetap Berpesan Ada Batasnya; “Media Sosial Is Not…

Diberi tanggungjawab membawakan karakter Tok Ayah dalam telefilem yang berjudul Mati Hidup Balik, Faizal berkongsi cabarannya.

“Tok Ayah ni dia satu watak yang menarik kerana dia merupakan pengamal ilmu hitam dan tidak boleh mati. Penonton dapat lihat nanti di permulaan cerita, di mana dia dimandikan namun bangun kembali.

“Tok Ayah ni dia merupakan pengamal ilmu hitam bersama dua orang lagi rakannya. Bila dia mati, kedua orang kawannya harus melakukan satu ritual untuk membebaskan jasad Tok Ayah. Kalau tidak, Tok Ayah akan jadi hantu dan kacau orang kampung. Jadi untuk saksikan ritual itu, kena saksikan telefilem ini,” terang Faizal.

PILIHAN PEMBACA: “Mungkin Alasan Mereka Lama Takda Job, Saya Takda 1 Juta Followers Masih Dipanggil Berlakon” - Faizal…

Ditanya pernahkah dia mendengar tentang amalan ilmu ini, Faizal mengaku pernah.

“Kalau ikutkan zaman dulu-dulu memang banyak orang amalkan ilmu sebegini. Masa saya kecik-kecil dulu memang pernah dengar cerita orang amalkan ilmu ini,” akuinya.

Telefilem Mati Hidup Balik mengisahkan Tok Ayah yang memiliki ilmu kebal menyebabkan dia mati hidup balik berkali-kali.

Tertekan dengan situasi itu Sara memaksa ayahnya untuk melepaskan ilmu itu. Namun ada rahsia yang tersimpan dan perlu dilakukan untuk memastikan Tok Ayah kekal mati.

Telefilem itu merupakan idea asal Syawal Azrai Mokhtar dan dibarisi pelakon hebat antaranya Faizal Hussein, Fiza Thomas, Saharol Nizam, Usop Wilcha dan ramai lagi.

Mati Hidup Balik terbitan Zeel Production akan ditayangkan pada 19 Januari pada pukul 10 malam di saluran Astro Ria dan Astro GO.