Filem remake Pengabdi Setan hasil sentuhan pengarah terkenal Joko Anwar, sama hebat dengan filem asalnya, arahan Sisworo Gautama Putra pada era 1980-an.

Oleh itu tidak hairanlah filem ini berjaya menggondol paling banyak piala di Festival Filem Indonesia 2017, pertengahan November lalu.

Tidak sangka plot twist dihasilkan Joko berjaya memberi kesan kepada keseluruhan jalan cerita filem ini, dimantapkan lagi dengan jalan cerita yang kemas membangkitkan mood seram penonton.

Sinematografi yang hebat, runut bunyi serta kesan khas seperti solekan turut meletakkan Pengabdi Setan pada tahap tersendiri.

Hebatnya Joko apabila berjaya membuat penonton tidak lena tidur hanya apabila terkenang sekeping foto yang disangkut didinding! Tak perlu banyak, ia sudah cukup untuk menambah ketakutan.

Banyak lagi babak-babak seram watak seperti Tony, Bondi, Ian diganggu roh ibu mereka sendiri yang datang dalam rupa menyeramkan.



Apatah lagi lagu yang pernah dinyanyikan oleh ibu mereka, Mawarni berjudul Kelam Malam sering berputar sendiri di radio, selepas dia meninggal dunia.

Kesayuan suara dan muzik yang terbit dari Kelam Malam juga mampu membuat bulu roma penonton berdiri tegak.

Tahniah Joko kerana berjaya mengadun dan menggarap elemen seram dengan sangat baik!

Sinopsis

Rini (Tara Basro) tinggal di pinggiran kota Jakarta di sebuah rumah tua milik neneknya, Rahma Saidah (Elly D. Luthan), bersama ibunya, Mawarni Suwono (Ayu Laksmi), bapanya (Bront Palarae), dan ketiga adik laki-lakinya, Tony (Endy Arfian), Bondi (Nasar Annuz), dan Ian (Muhammad Adhiyat).

Ibu Rini, tidak mampu bergerak dan hanya berbaring di tempat tidur. Untuk meminta bantuan Mawarni perlu membunyikan loceng.




Mawarni yang juga seorang penyanyi popular yang hit dengan lagu Kelam Malam terlantar sakit selama tiga tahun setengah tanpa diketahui sebabnya.
\
Bagaimanapun Rini menemui ibunya meninggal dunia di lantai bilik tidur. Selepas kematian Mawarni bapa Rini ke bandar untuk menyelesaikan urusan dihadapi keluarga mereka.

Kematian ibu mereka menghantui hidup Rini dan adik-adiknya apabila roh Mawarni sering mengganggu mereka.

Pelbagai kisah menyeramkan berlaku di rumah sepanjang ketiadaan bapa di rumah termasuk kematian nenek mereka disebabkan oleh roh jahat.

FILEM: Pengabdi Setan
DURASI: 107 Minit
ARAHAN: Joko Anwar
PELAKON: Tara Basro, Bront Palarae, Dimas Aditya, Endy Arfian, Nasar Annuz, M Adiyat
GENRE: Seram