HIBURAN
Serasi Dalam Drama Korea Popular, IU & Park Bo Gum Sudah 13 Tahun Bersahabat
Drama Korea Selatan, When Life Gives You Tangerines merupakan sebuah naskhah yang kini menjadi kegemaran peminat K Drama.
Berlatar belakangkan kehidupan sepasang kekasih berlainan karakter dari Pulau Jeju, drama tersebut dibintangi oleh aktres IU dan aktor Park Bo Gum.
Keserasian mereka membawa watak Gwan-sik (Bo Gum) dan Ae-Sun (IU) mendapat perhatian.
Sewaktu temubual bersama Teen Vogue, IU mendedahkan keserasian tersebut barangkali wujud kerana usia perkenalan dan persahabatan bersama Bo Gum yang sudah melebihi usia sedekad.
IU juga mendedahkan menerima lamaran bermain dalam drama tersebut selepas mengetahui pasangan aktornya adalah Bo Gum.
“Kami sudah bersahabat selama 13 tahun dan apabila diberitahu watak Gwan-sik akan dimainkan Bo Gum saya terima. Saya masih ingat perkara pertama yang saya katakan ‘adakah Bo Gum boleh menjadi sangat menarik (good looking) seperti yang digambarkan?”kata IU seperti dilaporkan AllKPop.
Bo Gum kemudian menyambung dia teruja selepas mendapat tahu IU akan menjadi lawan mainnya.
“Selepas mengetahui watak aktres akan dimainkan IU, saya teruja kerana sudah lama mahu kembali bekerjasama dengannya,” kata Bo Gum.
Aktor itu kemudian mendedahkan bagaimana hubungan baik dengan IU terjalin.
“Kami bertemu sewaktu terlibat dalam sebuah projek komersial sewaktu masih remaja.
“Pada usia 20-an saya pernah membuat kemunculan khas dalam siri The Producers dan hubungan kami menjadi lebih akrab selepas itu.
“Kini selepas berusia 30 tahun kami dapat bekerja dalam sebuah projek sama. Mungkin kerana usia kami sama jadi secara langsung sudah ada chemistry. Kami menghabiskan masa yang baik sepanjang penggambaran,” kata Bo Gum yang mahu ingin bekerjasama dengan IU lagi.