Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

Seronok Gelak, Menyanyi Lagu Viral TikTok ‘Bodoh Piang, Tinggi Mayat’, Tapi Bila Tahu Maksudnya…

Mya Amri 17/08/2022 | 07:15 MYT

Baru-baru ini tular mengenai lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi dari Russia berjudul Eta Lyubov.

Lagu tersebut kemudiannya menjadi popular di media sosial terutamanya TikTok sehingga ramai menggunakan lagu itu sebagai latar belakang video masing-masing dan tidak kurang juga ada yang membuat parodi tentang lagu tersebut.

Walaupun tidak memahami liriknya dalam bahasa Russia, tetapi ramai yang membuat rekaan sendiri asalkan sebutannya sama seperti dalam lagu.

Populariti lagu itu juga berjaya mendapat perhatian penyanyi asal sehingga muzik videonya dikeluarkan secara rasmi dengan menggunakan lirik dalam bahasa Melayu.

Antara sebutan ayat yang menarik perhatian pengguna media sosial adalah ‘minta hutang’, ‘bodoh piang’ dan ‘tinggi mayat’,

Bagaimanapun menerusi satu perkongsian dimuat naik seorang pengguna Facebook, Kamarul Ariffin Nor Sadan mendedahkan lirik korus lagu itu mengandungi sedikit perkara yang tak molek untuk dinyanyikan.

Menurutnya, lirik lagu itu banyak menceritakan tentang khayal dan arak.

“Kebelakangan ni, saya selalu dengar lagu ‘Bodoh Piang’ dimainkan di sosial media sebagai lagu latar. Lagu bahasa Rusia tu jadi sangat popular di Malaysia, sebab ia catchy dan sebutannya dianggap kelakar.

“Mungkin ada yang tahu, dan ada yang tidak, lirik korus lagu itu ada mengandungi sedikit perkara yang tak elok untuk kita nyanyikan. Kalau boleh, elakkan nyanyi korus lagu itu.

“Mana saya tahu maksud liriknya tak berapa elok? Sebab saya pernah menetap di Krimea(dulu jajahan Ukraine, kini jajahan Rusia) selama tujuh tahun. Jadi saya boleh fahamlah sikit bahasa Rusia.

“Lagu ni berjudul Eta Lyubov (Ini Cinta / Cinta Ini) nyanyian Amirchik. Korusnya berbunyi: Eta lyubov' samaabman, I da utra ya budu pʹyan, Viski – narkoz i v ablaka, Ty ne maeya, ty ne maeya.

“Makna: Cinta ini, adalah tipu daya (diriku) sendiri, dan sehingga pagi ku kan(akan) mabuk, Wiski – narkos, dan ke awan, kau bukan milikku, kau bukan milikku. Nampak tak kenapa saya kata tak elok?

"Ya budu p'yan" yang selalu diparodikan oleh orang kita sebagai "Ya bodoh piang" tu membawa maksudnya "Aku akan mabuk". Ini bukan melawak. Ini betul-betul.

“Ada juga disebut dalam korus itu tentang minuman keras(wiski/whiskey), tak sedarkan diri(narkos/narkosis) dan berkhayal/high (ke awan).

“Tak berapa sesuai dinyanyikan berulang-ulang, kan? Dalam rangkap lain, tiada masalah sangat. Sekadar bercerita tentang kesedihan penyanyi yang tak berjaya memiliki insan yang dia kasihi,” jelasnya.

Katanya lagi dia tidak mempunyai niat lain tetapi hanya mahu berpesan dan memberikan info kepada pengguna media sosial untuk memahami makna sebenar lagu berkenaan.

“Saya sekadar memberitahu dan berpesan sahaja. Saya rasa terpanggil untuk memaklumkan perkara ini, kerana saya faham makna lirik tersebut. Lepas kalian dah tahu, terpulanglah pada kalian. Semoga bermanfaat!” kongsinya.

#Viral #Tular #TikTok #Lagu Viral #Bodoh Piang #Lagu Tular #Tinggi Mayat
;