Pelakon terkenal Shaheizy Sam, 39, menganggap zaman kegemilangannya sebagai anak seni sudah lama berlalu.

Menurut Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad berkata tidak pernah timbul perasaan malu dan segan untuk turun padang meniaga bersama pasukan di kawasan tempat awam.

"Zaman glamour untuk saya dah berlalu.. bila saya turun padang (meniaga di bazar), ia bukan tentang saya. Sebaliknya ia mengenai pembeli dan peminat yang selama ini sentiasa menyokong produk saya.

"Kenapa saya tak boleh sokong mereka (pekerja) sedangkan mereka bersengkang mata, berdiri untuk menjual produk saya? Saya kena menjaga mereka, sebagaimana mereka menjaga saya.

"Sekarang ini bukan fasal status, kalau saya seorang yang jaga status sudah tentu saya hanya akan turun event yang diadakan di hotel sahaja.

"Bagi saya, power (popular dan terkenal) macam mana pun, mati nanti jadi tanah juga. Orang lain juga yang turun liang tanamkan kita," katanya kepada Gempak.

Sam ditemui ketika majlis perasmian Bazar Ramadan Gelek Raya 2021 yang diadakan di Aeon Big, Seksyen 23, Shah Alam, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Dalam pada itu, pelakon filem Polis Evo 2 enggan mengambil pusing dengan kata-kata orang luar kerana setiap individu mempunyai hak untuk bersuara.

"Saya memang tak peduli dengan kata-kata orang lain. Saya tak kisah.. Semua orang ada mulut, semua orang boleh bercakap.

"Saya memang telah diajar macam ini, bukan produk saja termasuk dengn filem. Contoh bila filem saya ditayang di pawagam, saya turun ke sana untuk berjumpa dengan orang yang sokong saya. It's the same things," katanya lagi.