Hiburan
Sertai Misi Dapur Kaseh di Palu, Zara Zya Mohon Doa Peminat
Pelakon cantik, Zara Zya akan berangkat ke Palu, Indonesia bagi mengikuti 'My Hope Hero' dan Malaysia Outreach Volunteer Experience (MOVE) untuk program Misi Dapur Kaseh.
Bakal bertolak esok bersama Fara Fauzana, Jihan Muse dan ramai lagi, ini merupakan misi fasa ketiga selepas kejadian tsunami yang telah melanda Palu pada 28 September tahun lalu.
"Insya-Allah, saya akan bertolak ke sana esok (Sabtu). Saya memohon doa semua peminat agar perjalanan kami dipermudahkan.
"Sebagai seorang selebriti, ini perkara yang dapat saya lakukan untuk menyumbang dan membantu mereka yang memerlukan.
"Dalam misi kali ini, kami bakal fokus kepada pemerkasaan wanita selain memberikan perkhidmatan pemulihan trauma kepada mangsa tsunami di sana," kata Zara.
Selain pemulihan trauma, misi ini juga akan banyak melakukan aktiviti lain yang memberikan manfaat kepada semua mangsa bencana alam di Palu.
"Kami juga akan memasak, melakukan pemeriksaan kesihatan, memberikan bantuan dari segi ekonomi, proses baik pulih masjid dan pelbagai aktiviti lain yang akan diadakan di sana nanti untuk membantu mereka.
"Semoga semuanya berjalan lancar dan misi kami dipermudahkankan, Insya-Allah," kata Zara mengakhiri bicara.
Must-Watch Video