Laman Utama
"Sesiapa Nyanyi Dalam Sebak Memang Suara Susah Nak Keluar" - Ning Baizura Komen Video Viral Awan Yang Terpilu
Penyanyi Ning Baizura menegaskan adalah tidak munasabah untuk netizen menularkan hanya sebahagian daripada klip nyanyian lagu hit Awan Yang Terpilu seperti yang viral di media sosial baru-baru ini.
Jelas Ning, 47, video yang tular di TikTok dan Twitter itu disifatkan sengaja mahu menjatuhkan reputasinya memperlihatkan dia seolah-olah tidak mampu menyanyi lagu itu dengan baik hingga kedengaran sumbang dan tak sampai.
"Tidak sepatutnya tularkan video yang pendek saja. Sepatutnya muat naik yang penuh," katanya seperti laporan Harian Metro.
Tambah Ning lagi, klip yang tular itu merupakan sedutan daripada persembahan hari keempatnya di sebuah pusat persembahan di Kuala Lumpur yang mana memerlukannya menyanyikan 20 buah lagu setiap malam.
"Sebenarnya saya buat persembahan selama empat hari berturut-turut. Setiap malam saya kena nyanyi 20 lagu, dah macam buat konsert. Tapi, dari dulu lagu setiap kali menyanyikan lagu Awan Yang Terpilu saya memang akan sebak. Ini kerana sata terkenangkan arwah ayah.
"Berdasarkan video yang tular, itu adalah persembahan saya pada malam terakhir. Lagu itu pun adalah lagu yang terakhir. Penonton yang hadir pada malam itu kebanyakannya peminat. Mereka turut merasai perasaan saya yang sebak selain itu juga persembahan terakhir saya.
"Sesiapa yang menyanyi dalam keadaan sebak memang suara susah nak keluar. Itulah yang saya lalui. Saya pula memang kalau menyanyi akan beremosi terutamanya kalau lagu Awan Yang Terpilu ini. Peminat yang biasa menyaksikan persembahan saya memang tahu perkara ini dan selalu saya kongsikan betapa lagu ini penuh makna pada diri saya.
"Jadi, saya berasakan mereka yang tularkan video itu adalah tidak munasabah. Tindakan itu lebih kepada nak mencari kelemahan dan cuba nak menjatuhkan saya. Lagi pula, mereka tidak ada di tempat kejadian, jadi tidak tahu apa yang berlaku," katanya.
Menurut Ning, ada banyak lagi persembahannya yang bagus dan jauh lebih baik daripada itu tapi tidak ditularkan.
"Saya mahu menggunakan tular ini untuk positifkan semula apa yang berlaku. Kalau betul-betul nak dengar lagu ini kena datang persembahan saya pada masa akan datang. Kena tengok sendiri dan nilaikan.
"Persembahan yang bagus tak ada pun nak ditunjuk, tidak pula nak ditularkan. Di TikTok orang suka mencari negatif dan kekurangan dan tak munasabah apatah lagu buat sesuatu yang tak senonoh. Saya bukan orang sebegitu yang nak ambil peluang macam tu.
"Kepada mereka yang bergelar budak baru nak up (BBNU), lain kali datang tengok betul-betul persembahan. Bukan tularkan daripada video orang dan sunting bahagian tertentu," katanya.
Sumber: Harian Metro