Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

"Sesiapa Pun Boleh Jadi Pelakon ..." - Izara Aishah Harap Instafamous Bersikap Serius, Ambil Kelas Lakonan Untuk Menjiwai Watak

Zulaikha Yusof 22/03/2021 | 00:22 MYT
Tidak menolak dengan kedatangan Instafamous di dalam industri seni, pelakon Izara Aishah, 29, berharap agar golongan ini menjaga disiplin dan bukan sekadar acuh tak acuh.
Menurut Izara atau nama sebenarnya Izara Aishah Hisham berkata pendatang baharu ini sepatutnya mempunyai inisiatif untuk memasuki kelas lakonan bagi memastikan kekal relevan dalam bidang ini.
"Sesiapa pun boleh jadi pelakon, tetapi sesiapa pun itu, saya harap seriuslah kalau betul nak buat. Saya harap mereka bersungguh-sungguh sebab tahu ada segelintir mereka hanya mahu main-main sahaja.
"Kami yang memang dalam dunia berlakon ini memang akan terasa sikit sebab kita bersungguh-sungguh kerja di set tapi ada pula yang sebaliknya.
"Pelakon baharu pun perlulah usaha sendiri dengan memasuki kelas lakonan untuk sentiasa kekal dalam industri.
"Pastikan jadi pelakon yang nak belajar untuk menjiwai watak atau karakter. Jangan sekejap ada sekejap tenggelam pula," katanya kepada Gempak.
Izara ditemui ketika majlis pelancaran single dan video klip lagu kanak-kanak terbaharu penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza serta produk minuman Beaukids di Skyglass, Cyberjaya, baru-baru ini.
Dalam pada itu, pelakon filem Pilot Cafe ini berpendapat jumlah tontonan sebuah drama atau filem bukan bergantung kepada seberapa ramai pengikut atau followers di media sosial.
"Bagi saya, walaupun ramai followers di media sosial, tidak semestinya membantu dari segi tontonan yang tinggi di kaca televisyen. Kadang-kadang pengikut dia bukan tengok sangat pun.
"Contohnya, kalau ambil pelakon berpengalaman dan berbakat seperti Sharifah Amani. Dia juga mampu menarik ramai penonton kerana naskhah yang dibintanginya ada kualiti, bukan dinilai mengikut jumlah pengikut.
"Saya bukan tidak bersetuju dengan cara pemilihan itu.. Kalau nak ambil pelakon, ambillah dengan cara yang betul.
"Buat uji bakat supaya pelakon yang dipilih boleh dinilai pada bakat selain memiliki gerak kerja yang baik. Nilai betul-betul," katanya lagi.
Sebelum ini, menerusi laman Twitter, Izara mempertikaikan tindakan stesen TV yang lebih memilih Instafamous untuk tawaran berlakon disebabkan bayaran yang murah.
Susulan itu, rata-rata netizen membuat spekulasi bahawa ciapan itu ditujukan kepada Sharifah Rose kerana dia kini sedang menjalani penggambaran drama berjudul Mix & Match.
Walaubagaimanapun, salah faham itu selesai selepas Sharifah Rose mengambil tindakan dengan menghubungi sendiri isteri kepada Adib Datuk Seri Khalid.
BACA: Isu Instafamous Jadi Pelakon, Sharifah Rise Jawab Dakwaan 'Perang Tweet' Dengan Izara Aishah! - "Kamu Semua Yang Panaskan..."
#Berlakon #Izara Aishah #Instafamous
;