Hiburan
Sesuai Dengan Situasi Semasa, GEGAR Lancar Lagu Baru... Cerita Pasal Raya PKP!
Stesen Rangkaian Astro Radio, Gegar yang dulu di kenali sebagai THR Gegar melancarkan lagu raya bertemakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat peminat dan pendengar saluran radio nombor satu di Pantai Timur.
Idea menghasilkan lagu "Gegar Raya PKP" itu timbul susulan PKP yang dilaksanakan kerajaan sehingga Hari Raya Aidilfitri yang melarang pergerakan rentas negeri termasuk pulang ke kampung dan tradisi kunjung mengunjungi yang menjadi amalan pada Hari Raya, lapor Astro Awani.
Menurut Pengurus Kandungan Gegar, Raja Nadia Salwana Raja Hisham, lagu ini diciptakan oleh Harry Apak bersama Apek Akram dan dinyanyikan oleh para penyampai radio Gegar.
"Semua lagu dan muzik video dirakamkan dari rumah penyampai masing-masing.
"Tujuannya adalah untuk memberikan nasihat kepada pendengar dan rakyat Malaysia tentang kepentingan mematuhi PKP yang dilaksanakan kerajaan.
"Lagu ini dinyanyikan sepenuhnya oleh penyampai Gegar iaitu Shah Muhammad, Mek Zura, Scha Musa, DJ Nazz, Ewan dan Anna Al-Juffrey" katanya.
Tambahnya, rakaman audio dan muzik video dilakukan di rumah masing-masing dengan adunan akhir dilakukan oleh Padu Records.
Gegar Raya PKP dilancarkan secara rasmi di platform media sosial Gegar dan saluran YouTube Padu Records pada jam 10 malam Selasa.
Menurut Raja Nadia lagi, lagu berkenaan merupakan gubahan yang dibuat bersesuaian dengan normal baharu kehidupan dalam PKP buat peminat dan pendengar Gegar.
Sumber: Astro Awani
Must-Watch Video