"Nak buat Ulek Mayang kena hati-hati dan stand by ustaz," demikian pesanan awal Imam Kanan Masjid Wilayah Persekutuan, Ustaz Tuan Asmawi kepada pengarah drama Ulek Mayang, Eoon Shuhaini.

Dedah Eoon, sepanjang beberapa hari penggambaran di Lumut, Perak, hampir setiap hari kru dan pelakon 'diganggu' dalam pelbagai cara.

Malah, pelakon utamanya, Neera Azizi tidak sedarkan diri ketika penggambaran salah satu babak drama tersebut.

"Nak buat siri Ulek Mayang agak susah skit sebab ramai dalam set ketakutan, hari-hari kena kacau dan diganggu...

"Kalau mainkan lagu Ulek Mayang dengan gitar pun, kami kena ganggu. Sebelum ini ada juga kena kacau tapi biasa saja, Ulek Mayang ni berbeza sikit!

"Ada salah satu babak watak puteri, Neera Azizi diganggu sehingga terpaksa guna pelakon stand in kerana dia sangat lemah. Dia jadi tak sedarkan diri.

"Awalnya dia rasa sedih, menangis kemudian terus tak sedar. Dia pun tak sedar yang dia ada sepak ustaz," ceritanya.

Lebih mencemaskan, Eoon sendiri terdengar bunyi loceng misteri ketika penggambaran.

"Ada part yang saya terdengar bunyi loceng dari jauh sampai dekat dan kemudian jauh kembali.

"Ketika itu Ara Johari dan Didi Astillah sampai terhenti dialog dan beritahu saya mereka tak boleh teruskan lakonan," katanya.

A post shared by Neera Azizi (@neeraazizi)


Kata penerbit Malaysian Ghost Stories, Arie Zaharie, objektif utama yang ingin disampaikan kepada penonton adalah mendedahkan generasi muda yang kurang percaya kepada kewujudan entiti seram.

"Kami ingin sampaikan kepada penonton pelbagai kisah hantu yang sering diceritakan di Malaysia sebagai hiburan untuk memberi kelainan.

"Kebanyakan generasi muda zaman sekarang kurang percaya dengan kewujudan entiti seram. Oleh itu, kami cari dan himpunkan semula kisah-kisah tersebut untuk dijadikan asas penceritaan utama.

"Drama ‘Malaysian Ghost Stories’ bakal mengupas secara terperinci kepelbagaian jenis hantu yang sering didengari di Malaysia agar dapat memberi gambaran dan visual yang jelas mengenai bentuk, rupa dan sifat hantu tersebut serta bagaimana cara untuk mengatasi sebarang gangguan mistik
sekiranya ada.

"Setiap kisah yang ditonjolkan sarat dengan nilai murni untuk diambil sebagai teladan dan pengajaran agar kita tidak sewenang-wenangnya mempersendakan kewujudan makhluk ini," katanya yang turut mendapatkan khidmat nasihat daripada pegamal dan pakar perubatan Islam.

Menerusi paparan sebanyak 18 buah episod, himpunan penceritaan kisah seram berkaitan alam mistik legenda yang sering diceritakan secara turun temurun dalam pelbagai versi oleh masyarakat di Malaysia akan ditampilkan dengan sentuhan baharu.

Sebanyak 18 buah cerita hantu yang berlainan akan dibawakan pada setiap episod seperti ‘Nenek Hostel’, ‘Hantu Kum Kum’, ‘Nenek Kebayan’, ‘Jin Pemusnah’, ‘Hantu Raya’, ‘Hantu Air’, ‘Balan-Balan’, ‘Pontianak’, ‘Langsuir’, ‘Pelesit’, ‘Hantu Jepun’, ‘Pocong’, ‘Nu Gui’ (Hantu Cina), ‘Nishi Dak’ (Hantu India), ‘Ulek Mayang’, ‘Hantu Tiada Kepala’, ‘Hantu Barang Antik’ dan ‘Hantu Jari’.

Seramai lebih 27 selebriti popular tanah air terlibat untuk menjayakan drama ini. Antaranya termasuklah Janna Nick, Zahiril Adzim, Meerqeen, Bella Astillah, Chubb-E, Syazwan Zulkifly, Nazeera Sardi, Ellie Suriaty, Adam Shahz, Anna Jobling, Keith Foo, Kazar Saisi dan Amerul Affendi.

Turut sama dalam siri Malaysian Ghost Stories adalah Ara Johari, Hasnul Rahmat, Jasper Supayah, Azman Ahmad, Hanna Aqeela, Azar Azmi, Fimie Don, Nabil Aqil, Balkisyh Semundur Khan, Erry Putra, Hamdan Senario, Sabrina Ali, Eric Fuzi, Fadhli Masoot dan ramai lagi.

Malaysian Ghost Stories ditayangkan pada setiap hari isnin hingga Khamis pukul 11 malam di saluran Astro Ria (124) dan Ria HD (104).

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, drama tersebut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand.