“Setahun Pujuk Tapi Dia Tak Mahu” - Innuendo Terpaksa Buat Konsert ‘Comeback’ Bertiga
Kumpulan R&B popular sekitar 1990-an, Innuendo mengakui terpaksa akur untuk membuat kemunculan semula dalam industri secara bertiga sahaja tanpa disertai seorang ahlinya, Reymee Hussein.
Menurut anggotanya, Pot atau nama sebenarnya, Saiful Amir Abdul Wahab, dia bersama ahli yang lain sudah puas memujuk Reymee untuk sama-sama meneruskan perjuangan Innuendo semula.
"Kami sudah puas pujuk untuk dia menyanyi semula, namun kita hormat keputusannya untuk fokus dengan perniagaan yang dijalankan.
"Lama juga dah pujuk. Dalam setahun juga, tapi itulah kita tak boleh nak paksa. Jadi, kita teruskan sahaja dengan apa yang ada," katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Innuendo The Return di Kuala Lumpur.
Selain Pot, Innuendo dianggotai Shamsul Azhar Nazeer atau lebih dikenali sebagai Sam dan Ahmad Tajuddin Mohamed Tahir (Taj).
Jelasnya lagi, buat masa ini Innuendo tidak mempunyai perancangan untuk mencari pengganti Reymee.
"Kami tak ada lah beria nak cari pengganti. Tak ada sampai nak buat proses uji bakat pencarian.
"Cumanya, kalau ada (pengganti bersesuaian), ada lah. Kita just go with the flow," kongsinya.
Bercakap mengenai konsert yang akan diadakan di Istana Budaya Kuala Lumpur itu, katanya lebih 20 buah lagu malar segar akan didendangkan pada 10 April depan.
Antara lagu yang bakal dipersembahkan termasuklah Selamanya, Gemawan, Ratu Hati dan Belaian Jiwa.
Orang ramai boleh mendapatkan tiket pada harga serendah RM125 hingga RM695 di www.myticket.asia.
Untuk rekod, sebelum ini, Sam pernah menyertai program realiti Gegar Vaganza pada 2014.