Hiburan
"Setakat Ini Tiada Lelaki Yang Berjaya Ketuk Pintu Hati Saya" - Ramlah Ram Selesa Bersendiri, Belum Terbuka Miliki Pasangan
Penyanyi Ramlah Ram mengakui hatinya masih belum terbuka untuk menerima mana-mana lelaki dalam kehidupannya.
BERITA BERKAITAN: Punca Diejek, Nek Kiah Masih Ingat Mengaji Al-Quran Walau Usia Cecah 90 Tahun! - "Nak Bergaduh Takut, Jadi..."
BERITA BERKAITAN: “Permintaan Dia Sebelum Menutup Mata…” - Kiah Propa Kembali Berkahwin, Mahu Jaga Bekas Suami Sakit Kanser Leher
Menurut Ramlah, dia semakin selesa dan tenang menjalani kehidupan sendiri setelah lebih 13 tahun hidup berseorangan.
Walaupun berstatus janda agak lama, namun dia tidak menolak untuk berkahwin sekali lagi sekiranya dipertemukan jodoh.
"Buat masa ini saya memang langsung tidak terfikir untuk mencari pasangan, mungkin kerana saya sudah terlalu lama hidup sendiri.
"Boleh katakan saya agak selesa dengan status dan keadaan saya sekarang. Tetapi sebagai insan biasa saya tidak akan menolak kalau Tuhan kata sudah tiba masa untuk saya berjodoh. Waktu itu saya akan terima.
"Tetapi setakat hari ini tiada mana-mana lelaki pun yang berjaya mengetuk pintu hati saya," katanya ketika ditemui Gempak.
Bagaimanapun kata Ramlah, ada beberapa individu cuba mendekati namun dia masih belum terbuka hati.
"Ada, memang ada yang cuba nak berkawan atau kenal-kenal dengan saya. Tetapi semua ini bagi saya nanti dahulu, biarlah.
"Macam saya katakan, setakat ini masih tak fikir langsung soal kahwin,” ujarnya.
Untuk info, Ramlah telah berkahwin dengan Kamal Roslim pada 3 November 2000, namun bercerai pada 20 Mei 2010 dan tidak dikurniakan cahaya mata.