Hiburan
Setelah 16 Tahun, Lan Kristal Potong Rambut Pendek
Vokalis kumpulan Kristal, Lan memotong rambutnya pendek setelah 16 tahun kekal dengan imej rambut panjang.
Lan atau nama sebenarnya, Mohd Razlan Mohamed Yusof mula menyimpan rambut panjang semenjak tahun 2001.
“Saya menceburkan diri dalam dunia hiburan semenjak tahun 1999. Ketika itu, saya masih di bangku sekolah. Selepas tamat sekolah pada tahun 2001, saya sudah mula menyimpan rambut dan tampil dengan imej rambut panjang.
“Saya pernah memotong rambut, tetapi tidaklah pendek seperti sekarang. Sepanjang 16 tahun ini, saya ada beberapa kali memotong rambut tetapi masih panjang kerana saya hanya memotongnya paras bahu sahaja.
“Perbezaannya amat dirasakan. Tangan saya masih lagi terbiasa untuk menyelak dan mengikat rambut, tetapi apabila saya pegang, baru saya sedar rambut saya telah pendek,” kata Lan kepada Astro Gempak ketika ditemui di Malam Throwbaek Drama pada Sabtu.
Mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan untuk muncul dengan imej baru, Lan mengakui dia rasa sayang untuk memotong rambutnya.
“Sejujurnya, saya mengambil masa yang lama untuk memotong rambut. Sebelum ini, saya memotong sedikit demi sedikit. Jumaat lalu, saya nekad untuk memotongnya seperti sekarang. Anak-anak juga pelik melihat saya dengan rambut pendek.
“Awalnya saya rasa sayang nak potong, tetapi selepas memikirkannya semula, rambut akan tumbuh semula. Saya mengambil keputusan untuk memotong rambut untuk mengubah angin. Selepas ini, kumpulan Kristal akan muncul dengan lagu baru, bersesuaian dengan imej baru saya,” katanya lagi.
Teks oleh: Kamaruddin Razal