Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mencuri tumpuan wargamaya apabila berfoto kenangan bersama pelakon siri Gerak Khas Farid Amirul Hisham Abdullah yang bernikah semalam.

Menerusi laman sosial Twitter, Dr Zul memuat naik sekeping foto bersama mempelai ketika berada di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Kuala Lumpur untuk beberapa urusan.

“Selamat pengantin baru diucapkan kepada “Sub Inspektor Lim” daripada Gerak Khas! Kebetulan terserempak dengan beliau selepas selesai urusan di JAWI, Kuala Lumpur semalam,” tulis Dr Zul.Di samping itu, Dr Zul turut mendoakan agar rumah tangga yang dibina Farid, 55, bersama isterinya, Norhayati Abdullah, 39, berbahagia sentiasa.

“Semoga En. Farid Amirul Hisham Abdullah dan isteri berbahagia dan dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah,” ujar beliau lagi.

Memetik laporan Harian Metro, Farid bersyukur apabila majlis pernikahannya berjalan lancar.

“Alhamdulillah, majlis akad nikah berjalan lancar. Sepatutnya ia berlangsung jam 12 tengah hari tapi dilewatkan sedikit memandangkan ada beberapa pasangan lain sebelum kami.

"Majlis semalam dihadiri lima orang termasuk saya dan juga isteri. Akad nikah disempurnakan oleh jurunikah dari Jawi, Ustaz Maliki," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Dr Zul turut meraih perhatian ramai apabila foto ‘Erra Fazira’ yang melangsungkan pernikahan di kompleks JAWI.

Individu yang dimaksudkan mempunyai nama yang sama seperti primadona filem negara, Erra Fazira.