"Setiap Hari Beribu Orang Mati..." - Isa Khan Akui PKP Ajar Diri Lebih Bersyukur
Asraf Aided
17/04/2020
07:45 MYT
Penyanyi Isa Khan berkongsi pandangannya terhadap hikmah di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan di negara kita.
Menurut Isa, PKP banyak mengajarnya untuk lebih bersyukur dan memandang jauh dalam kehidupan.
"PKP ini sebenarnya banyak mengajar aku untuk lebih bersyukur dan memandang lebih jauh dalam hidup ini.
"Sebelum ini, hari-hari fikir nak cari duit je, celik je mata pagi dah fikir duit duit duit. Sampai aku tak sedar yang sekarang ini dah akhir zaman dimana semua orang mengejar dunia lebih dari akhirat.
"Kadang masa solat pun kepala otak duk fikir pasal kerja lah itu lah ini lah, macam-macam sangat yang bermain dekat kepala sampai lupa perasaan rindu kita dengan Dia, sayangnya kita dengan Dia," tulis Isa di Instagram.
Dalam pada itu, tunang kepada Risteena Munim ini juga mengajak orang ramai untuk membuka mata serta beringat dengan petanda yang diberi oleh Tuhan.
"Hari ini setiap hari kita tengok beribu-ribu orang mati di seluruh dunia, masih lagi nak kejar dunia yang sementara ni ke?
"Banyak dah tanda besar yang Dia tunjuk dekat kita, tolonglah kita sama-sama buka mata dan buka pintu hati kita, ubah mindset dan beringat-ingatlah. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada hari ini, tak salah kalau nak lebih maju dalam hidup ini cuma kena seimbang," tulisnya lagi.
Perkongsian itu mendapat perhatian dari para pengikut Isa di ruangan komen.
Rata-rata mereka turut bersetuju dengan pendapat Isa dan mengucapkan terima kasih kepadanya kerana berkongsi mesej kebaikan.