"Setiap Kali Upload Foto Anak-Anak, Mesti Mereka Datang Kutuk..." - Ini Pendedahan Rita Rudaini!

Kamaruddin Razal
September 29, 2019 03:55 MYT
Pelakon jelita, Rita Rudaini, 43, mendedahkan tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang muncul apabila dia berkongsi foto anak-anaknya di laman Instagram.
Menurut Rita, wujud segelintir pihak yang menggunakan akaun Instagram palsu untuk meninggalkan komen negatif dan buruk apabila dia memuat naik gambar Airit Rayyan Rizqin, 10, dan Airit Qaqa Arjuna, 8.
"Kadang-kadang, bila saya kongsi foto anak-anak di laman Instagram, mulalah ada akaun palsu yang tidak mempunyai foto serta tidak mengikuti mana-mana akaun Instagram lain muncul di ruangan komen.
"Mereka meninggalkan komen buruk dan negatif terhadap foto terbabit. Setiap kali muat naik gambar anak-anak, mesti mereka pun datang komen berbaur kutukan. Saya juga akan bertindak membalas komen jika ada netizen bertindak melampau meninggalkan komen bukan-bukan," kata Rita.
Tambah bintang Mendam Berahi ini lagi, dia menentang pendapat yang mengatakan selebriti tidak perlu membalas perbuatan jahat netizen di laman sosial.
"Ada yang cakap artis tidak seharusnya balas atau respon. Bagi saya, ikut keadaan. Kalau komen mereka melampau, saya harus bertindak.
"Kenapa artis hanya perlu diam? Kami mempunyai perasaan seperti manusia biasa, bukannya makhluk asing," tegasnya lagi.
Rita ditemui usai minggu keempat program All Stars Buka Panggung (ASBP) di Royal Theatre, Shah Alam pada Jumaat.
Bertarung dengan tiga pelakon lain iaitu Datuk Fizz Fairuz, Ruhainies dan Johan Asari, Rita berjaya meraih gelaran juara mingguan ASBP.
Rita bakal berentap bersama pemenang episod-episod lain pada pusingan separuh akhir di minggu keenam nanti.
Pusingan akhir pula akan berlangsung pada minggu ketujuh.
Rita memenangi RM4,000 berserta trofi dan wang tersebut telah disumbangkan kepada pelakon veteran tanah air yang pernah bekerjasama dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Ramli Mohamad atau lebih dikenali sebagai Pak Limra.
Merupakan ahli Persatuan karyawan Malaysia, kini Pak Limra berada di Pusat Jagaan Mahmudah Warga-Warga Tua di Semenyih, Selangor.
ASBP merupakan rancangan yang menguji dan mencabar pelakon untuk beraksi dalam babak komedi pentas secara spontan tanpa bantuan skrip.
Program ini menampilkan pelawak daripada kumpulan Shiro iaitu Ajak dan Shahrol sebagai pengacara.
Primadona filem Melayu alaf baru, Erra Fazira pula menggalas tugas sebagai Seri Dewi Panggung.
ASBP disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.
Program ini akan bersiaran selama 7 minggu pada setiap Jumaat, pukul 9 malam secara langsung dari Royal Theater, Shah Alam.
#Rita Rudaini #All Stars Buka Panggung