Ibu kepada Pegawai Kadet Laut Allahyarham Zulfarhan Osman, Hawa Osman, 56, sebak selepas mahkamah memerintahkan 18 daripada 19 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) untuk membela diri.

Menerusi laman sosial Twitter, seorang wartawan Astro Awani telah berkongsi sepotong video temubual bersama Hawa sejurus keluar dari galeri awam mahkamah.

"Pemergian Zulfarhan masih terasa. Setiap malam saya akan mendengar suara dia.

“Tambahan lagi bila tiba hari raya, terasa sangat yang dia dah tiada. Saya tak akan lupakan,” jelasnya menerusi video temubual berdurasi 45 saat itu.

Rakaman tersebut ternyata menyentuh hati netizen yang turut sama bersedih dengan insiden yang menimpa Allahyarham.Menerusi video itu juga, ibu dan bapa Allahyarham Zulfarhan, Zulkarnain Idros, 55, turut berterima kasih pada sanak-saudaranya yang setia mengikuti setiap prosiding mahkamah.

Ucapan penghargaan turut diberikan kepada semua wartawan yang datang untuk membuat liputan daripada hari pertama perbicaraan.

Mahkamah Tinggi Kuala Kumpur semalam mengarahkan 18 daripada 19 tertuduh dalam kes kematian Allahyarham Zulfarhan untuk membela diri.

Seorang lagi tertuduh, Mohamad Akmal Akif Alias, dilepaskan dan dibebaskan di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dan mendatangkan kecederaan.

Kesemua mereka didakwa terbabit dalam membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.