Bintang Big Stage 2022, Daniel Chuer akui Aisha Retno merupakan antara saingan sengit.

Menurut Daniel, setiap minggu Aisha tidak pernah gagal memberikan kelainan dan persembahan hebat di pentas Big Stage.

“Kalau saya sendiri, saya rasa saingan paling sengit sekarang ini Aisha Retno lah. Kalau kita nampak, persembahan dia setiap minggu tu versatil.

“Dia punya persembahan ada kelainan yang dia mahu tunjukkan setiap minggu dan benda itu agak sukar untuk kita lawan.

“Tetapi saya tetap akan cuba yang terbaik untuk memberikan persembahan dan versi saya yang berlainan setiap minggu,” ujarnya.

Daniel berkata demikian ketika ditemu bual Isha dalam segmen Gempak Hit Era.

Ketika ditanya mengenai persembahan minggu ini, Daniel memberitahu agak mencabar kerana dia membawakan lagu Gila nyanyian asal Kaka Azraff, LOCA B dan Noki.

“Kalau dulu ada juga pernah menyanyi lagu yang ada tiga orang. Tapi kali ini agak berbeza kerana lagu ini bergenre hip hop.

“Cabarannya adalah arrangement lagu, macam mana saya nak sesuaikan suara saya untuk ketiga-tiga trio ini dan juga untuk tidak nampak janggal,” jelasnya.

Selain Daniel, Isha yang juga merupakan hos Gempak TV bakal menghubungi selebriti untuk mengetahui perkembangan terbaharu mereka untuk segmen Gempak Hit Era.

Dengarkan segmen Gempak Hit Era, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 1 hingga 4 petang hanya di ERA.Je

Jangan lupa saksikan Big Stage 2022, setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104).