“Setiap Pelakuan Pasti Ada Hukuman!” - Projek: Anchor SPM Dedah Rahsia & Taktik Terbesar Pelajar?
Drama bersiri premium Astro Originals, Projek: Anchor SPM bakal membawa pengalaman dan isu yang mungkin tidak dibincangkan selama ini.
Perkara itu dinyatakan Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad menerusi satu sidang media khas baru-baru ini.
Menurut Jastina, antara topik yang bakal dibangkitkan dalam drama Projek: Anchor SPM termasuklah isu psikologi, tekanan daripada keluarga dan pengaruh rakan sebaya.
“Kami menyedari banyak isu sosial dan stigma yang jarang disentuh, namun subjek ini sangat menarik untuk kita kupas, disamping membawa penonton untuk mengimbas kembali memori di sekolah.
“Selain itu, drama siri premium ini mempertaruhkan kreativiti dua pengarah berbakat hebat iaitu Razaisyam Rashid dan Anwati Ashraf yang mampu memberikan sesuatu yang baru buat drama tempatan,” katanya.
Tambahnya, mungkin ada di luar sana yang akan mempertikaikan tentang sub-elemen iaitu ‘meniru’ yang dipaparkan dalam drama ini.
“Tetapi kehadiran drama ini adalah untuk memberi tauladan kepada semua.
“Setiap kelakuan yang salah pasti ada hukuman dan pengajaran.
“Buat golongan ibu bapa pula, diharap boleh membuka mata untuk lebih memahami beban serta tekanan yang dialami anak-anak dalam menghadapi peperiksaan.
“Kepada para guru, ini mendedahkan taktik-taktik yang mungkin akan dilakukan oleh pelajar. Kami harap, penonton dapat menilai daripada sudut positif dan jadikan ia sebagai tauladan,” katanya.
Untuk rekod, Projek: Anchor SPM mengisahkan tentang sekumpulan pelajar tingkatan lima di Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA) di Cameron Highlands, yang merupakan sebuah sekolah berasrama penuh berprestij.
Isu mula tercetus apabila Aizat lakonan Aedy Ashraf terdesak cuba mencari jalan mendapatkan keputusan 8A dalam peperiksaan percubaan SPM.
Aizat akhirnya berjaya bersekongkol dengan Aaidaa (Daiyan Trisha), dan menghasilkan sebuah pelan untuk membantu rakan- rakan seluruh tingkatan mereka cemerlang SPM melalui strategi meniru besar-besaran.
Drama ini turut dilakonkan oleh Nadhir Nasar (Hilmi), Chubb-E (Botol), Shasha Abedul (Jaja) serta nama-nama besar dalam industri seni tempatan seperti Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat Tony Eusoff dan Susan Lankester.
Apapun, saksikan ‘Projek: Anchor SPM akan ditayangkan di saluran Astro Citra pada jam 9.00 malam, bermula 15 Mac ini.
Untuk pilihan alternatif, penonton juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.