"Sewaktu Depresi, Bertarung Dengan Bipolar Disorder, Mak & Ayah Puas Hantar Berubat Sana Sini" - Safiey Illias

Kamaruddin Razal
Jun 15, 2020 04:53 MYT
Usahawan selebriti dan penyanyi, Safiey Illias mendedahkan ibu bapanya berkorban menghantarnya berubat ketika dia bertarung dengan depresi.
Menerusi salah sebuah entri di laman Instagram, Safiey yang popular dengan lagu Apa Salah Syinta ini mendedikasikan ucapan istimewa untuk ibu bapanya.
"Sayang mak dan ayah. Semoga mak dan ayah saya sentiasa sihat dan mendapat reda Allah.
"Terima kasih mak dan ayah sebab sentiasa ada waktu susah dan senang. Sewaktu saya depresi, bertarung dengan bipolar disorder, mak dan ayah puas hantar berubat sana sini.
"Ingat lagi jam 3 pagi terbangun tidur, mak tengah baca Yaasin. Baru lepas solat hajat dan tahajud. Bagi saya minum mengharapkan saya sihat. Boleh bisnes macam biasa," tulis Safiey.
Tambah pelantun lagu Syinta Gila ini, hidupnya tidak tentu arah selama enam bulan.
"Enam bulan macam orang gila, blur. Mandi pun tak nak. Makan ikut mood. Tidur tak menentu. Ada kala mood happy, ada kala mood boleh jadi marah-marah dan sedih tiba-tiba.
"Saya jadi lara. Saya jadi lain sangat-sangat. Anti sosial. Takut jumpa orang. Tak ada keghairan pada apa jua aktiviti.
"Lama saya sturggle nak cari diri saya yang dulu, nak cari happy yang dulu. Ditimbun dengan pelbagai masalah dan beban serta pengkhianatan.
"Hari-hari mak ayah doa, harap cepat sihat. Boleh bisnes balik. Belum campur dengan segala unsur santau dan sihir. Macam-macamlah saya hadap," kongsinya lagi.
Safiey juga mendedahkan dirinya semakin pulih dan bangkit dengan bantuan ibu bapanya.
"Tapi akhirnya saya makin pulih Alhamdulillah. Dan saya terus bangkit bila melihat muka mak dan ayah. Sampai bila dibelenggu depresi ini.
"Tak akan hari-hari fikir bila Izrael nak datang menjemput mati. Masa tu memang dah tak ada harapan. Nak bahagia mahupun berjaya. Mereka, terus tertawakan saya.
"Sabarlah, esok pasti akan ada pelangi muncul. Bukanlah sekadar mengharap Izrael bertanya khabar. Doakan saya sihat dan boleh bisnes semula! Amin!" tulisnya lagi.
Di ruangan komen, rata-rata peminat mendoakan agar keadaan Safiey kembali pulih seperti sediakala.
Terdahulu, Safiey pernah menggegarkan negara dengan kisah penghijrahan dirinya.
Namun begitu, dia kembali kepada cenderung kepada perwatakan wanita dan menerima kecaman netizen.
#Safiey Illias #Syinta Gila