Shah Rukh Khan Alih Suara Watak Utama The Lion King

Amri Hassan
Jun 19, 2019 03:40 MYT
Bintang Bollywood Datuk Shah Rukh Khan dan anak lelakinya, Aryan Khan dipilih sebagai teraju utama alih suara filem The Lion King versi bahasa Hindi.
Shah Rukh bakal mendukung peranan sebagai King Mufasa manakala Aryan menggalas tanggungjawab sebagai anaknya, Simba.
Teruja untuk pembabitan projek khas itu, kata bintang filem Kuch Kuch Hota Hai itu, The Lion King punyai tempat istimewa bagi keluarganya.
"Sebagai seorang bapa, saya dapat rasakan hubungan yang kuat dengan karakter Mufasa dan hubungan dengan anaknya, Simba.
"Legasi Lion King tak lapuk dek zaman dan menjadi sebahagian daripada versi imaginasi semula bersama anak lelaki saya pastinya satu perkara yang sangat istimewa," katanya dalam satu kenyataan kepada media antarabangsa.
Shah Rukh turut menyiarkan sekeping foto berjersi biru yang tertulis nama watak Mufasa dan Simba yang dipakainya bersama Aryan di laman sosialnya baru-baru ini.
Ternyata, pengumuman itu mencetuskan rasa teruja dalam kalangan peminat setianya yang sudah tidak sabar menantikan filem 're-imagining' itu ke layar perak.
Filem terbitan Disney itu dijadualkan akan memulakan tayangan seluruh dunia pada 19 Julai hadapan dalam beberapa versi alih suara bahasa Inggeris, Hindi, Tamil dan Telegu.
Sumber: The Hindu
#Shah Rukh Khan #Shah Rukh Khan #Mufasa #The Lion King