HIBURAN

Shah Rukh Khan Kongsi Foto Tangan Dianduh Pasca Cedera Di Lokasi: “Insya-Allah…”

Maliah Surip 17/08/2025 | 06:25 MYT
Shah Rukh Khan muncul menyapa peminatnya dengan sekeping gambar terkini yang sekaligus memberi khabar kesihatan dirinya selepas terlibat dengan kemalangan sewaktu membintangi filem terkini, King, bulan lalu.

Menerusi perkongsian di media sosial, pesohor Bollywood itu memperlihatkan keadaan terkini dirinya dengan tangan dianduh kesan kecederaan yang dialami sewaktu melakukan salah satu adegan aksi filem milik Siddharth Anand.

Bintang berusia 59 tahun tersebut juga menjawab pertanyaan peminat mengenai kesihatan dan perkembangan dirinya kembali ke lokasi penggambaran.

“Bila filem terkini anda akan menemui penonton,” tanya seorang peminat dalam ruangan Ask Me Anything (AMA) di ruangan X Shah Rukh Khan seperti dilaporkan Hindustan Times.

Soalan itu dijawab Shah Rukh Khan dengan mengatakan beliau akan kembali ke lokasi penggambaran dalam masa terdekat.

“Akan memulakan penggambaran dalam masa terdekat. Melakukan adegan kaki dahulu sebelum ke bahagian atas badan.

“Insya-Allah akan melakukannya dengan cepat,” jawab Shah Rukh Khan.

Aktor tersohor itu juga menambah dirinya kini mengikuti sesi fisioterapi bagi memulihkan bahagian bahunya yang mengalami kecederaan sebelum ini.

Shah Rukh Khan sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan di lokasi penggambaran King dan dikatakan mendapatkan rawatan dirinya kembali ke Los Angeles.

King merupakan naskhah terkini lakonan Shah Rukh Khan selepas dua tahun tidak terlibat dengan pembikinan filem.
#Shah Rukh Khan #Cedera #Tangan Dianduh