HIBURAN
'Shah Rukh Khan Malaysia' Impi Nyanyi Lagu OST Filem Bollywood! - Tak Salah Pun Simpan Angan-Angan"
Sering menyanyikan lagu-lagu Bollywood, khususnya dari filem lakonan Datuk Shah Rukh Khan, penyanyi Mamuji tidak kisah jika peminat menyamakannya dengan aktor tersohor tersebut.
Menurut Mamuji, 33, meskipun berdepan kritikan dan kecaman, anak kelahiran Pulau Pinang itu mengakui telah lama menjadikan SRK sebagai idolanya dalam bidang seni.
“Saya dapat gelaran begitu sebab selalu buat live di TikTok dan nyanyikan lagu-lagu hits daripada filem lakonan Shah Rukh Khan. Saya lihat penonton di saluran itu mereka suka tengok cara kita menyampaikan lagu itu dengan lakonan.
"Saya buat macam apa yang mereka suka. Tiru cara Shah Rukh Khan berlakon ketika menyanyi dalam filem dan peminat suka saya buat begitu. Tetapi tak sangkalah ada yang panggil saya Shah Rukh Khan Malaysia," katanya kepada Gempak.
Mamuji berkata demikian ketika ditemui pada sesi busking di Bukit Bintang baru-baru ini sempena mempromosikan Konsert A Lovely Night With Udit Narayan yang bakal berlangsung di Setia Spice Arena, Pulau Pinang pada 26 April depan.
.jpeg)
Versatil
Mamuji yakin dirinya mempunyai identiti sendiri, meskipun sering dikaitkan dengan bintang Bollywood itu.“Walaupun ada yang kata saya ini macam aktor Bollywood itu, tetapi saya ini menyanyi dan saya juga berlakon. Itu kelebihan saya. Dari kecil pun memang minat dengan dunia nyanyian malah dipupuk dengan baik oleh ibu dan ayah.
"Walaupun saya suka bawa lagu-lagu Hindustan, tetapi saya juga boleh bawa lagu genre lain. Tengok permintaan macam mana.
"Pada masa yang sama, saya juga pasang hasrat agar lebih dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu Hindustan. Kalau boleh, bila orang sebut lagu Hindustan saja, orang sebut nama saya sebagai penyanyi Malaysia yang boleh menyanyikan lagu bahasa itu,” katanya.
.jpg)
OST Bollywood
Mamuji turut mengakui bahawa salah satu impian terbesarnya adalah menghasilkan lagu runut bunyi untuk filem Bollywood suatu hari nanti.“Ini antara misi dan visi saya. Tak salah pun simpan angan-angan, mana tahu untung sabut timbul. Kalau dapat lagu-lagu saya dijadikan sebagai OST filem di Bollywood, itu dikira bonus,” ujarnya.
Opening konsert Udit Narayan
Berkongsi keterujaannya, Mamuji berkata peluang menjadi penyanyi jemputan yang akan membuka Konsert Udit Narayan di Pulau Pinang adalah satu penghormatan besar.Sebagai bekas peserta Gimme The Mic 2024 dan All Together Now Malaysia (ANTM) musim kedua, beliau menganggap peluang ini sebagai sesuatu yang amat dihargai kerana Udit Narayan merupakan idolanya dalam bidang nyanyian.
“Berpeluang menjadi artis pembuka pentas pada konsert tersebut mungkin akan menjadi satu kenangan yang tidak akan saya lupakan.
"Udit merupakan penyanyi yang hebat dan SRK juga banyak melakonkan nyanyiannya di dalam filem.
"Rasa macam tak percaya pun ada sebab ini merupakan konsert artis antarabangsa yang menyaksikan penglibatan saya sebaris dengan artis jemputan lain.
"Meskipun sekadar penyanyi jemputan, ia tidak bermakna saya boleh bermain-main. Demi kepuasan penonton dan peminat lagu-lagu Bollywood, saya kena buat sehabis baik,” katanya.
Meskipun masih belum membuat keputusan muktamad mengenai lagu yang bakal dinyanyikan, Mamuji berjanji untuk tidak mengecewakan peminat.
Selain Mamuji, konsert tersebut akan menampilkan Dee Jangan Ketawa, Nadya Fharshah, dan Ar Wanz sebagai pembuka tirai acara. Udit Narayan turut akan bergandingan dengan penyanyi tempatan, Siti Nordiana.
Udit Narayan, yang terkenal dengan suara latar aktor Bollywood seperti Shah Rukh Khan dan Amitabh Bachchan, telah menyanyikan lebih 25,000 lagu dalam pelbagai bahasa termasuk Tamil, Bengali, Telugu, dan Kannada.
Kariernya yang menjangkau lebih tiga dekad telah memberikannya 22.3 juta pendengar di Spotify, selain pelbagai anugerah muzik.
Peminat Bollywood di Asia Tenggara pastinya tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan konsert ini secara langsung.
Tiket telah mula dijual sejak 28 Ogos 2024 dan boleh didapati melalui UberTickets.
Must-Watch Video