Shahir Hantar Rombongan Meminang? Saya Tak Tahu Pun - Erra Fazira
Ahmad Shah
16/06/2016 08:43 MYT
16/06/2016 08:43 MYT
Dikaitkan dengan juara Akademi Fantasia, Shahir Zawawi, pelakon dan penyanyi Erra Fazira menjelaskan yang dia tidak tahu menahu mengenai khabar angin yang mengatakan Shahir bakal menghantar rombongan untuk meminang.
“Sejujurnya, saya sendiri tak tahu mengenai perkara itu. Sebelum ini pun ada cerita bertebaran yang mengatakan saya dan Shahir telah bertunang. Perkara sebelum ini tidak benar dan khabar yang bertebaran kali ini juga tidak benar.
“Saya tak menafikan yang saya berkawan dengan Shahir. Setiap orang yang berkawan pasti mempunyai fasa tersendiri untuk membawa hubungan mereka ke peringkat yang seterusnya. Bagi saya, biarlah saya simpan sendiri perkara itu,” kata Erra kepada Astro Gempak.
Erra juga menyangkal dakwaan yang mengatakan dirinya menjadi salah satu punca kehilangan Shahir dalam dunia seni.
“Keputusan Shahir untuk menyepikan diri dalam bidang nyanyian tidak ada kena mengena dengan saya. Semua keputusan adalah dari pihak Shahir dan saya tidak pernah masuk campur,” kata Erra yang ditemui pada sidang media KL Raya Fest 2016 Mood Republik di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Rabu.
Menerusi KL Raya Fest 2016 Mood Republik yang bakal berlangsung pada 24 sehingga 26 Jun akan datang, Erra bakal menjual Rara Cookies by Erra Fazira.
“Saya sudah lima tahun aktif dalam perniagaan tetapi sebelum ini saya hanya aktif di belakang tabir sahaja. Namun begitu, pada tahun lalu, saya sudah mula aktif menyertai bazar dan merasakan keseronokan perkara tersebut,” kata Erra mengkahiri perbualan.