Pelawak, Shahrol Shiro mengesahkan isterinya Nor Farhanah Syamimi, selamat melahirkan bayi kedua mereka pada pagi Jumaat minggu lalu.

Sambil mengucapkan rasa syukur, Shahrol berkata, bayi lelaki seberat 2.4 kilogram tersebut dilahirkan secara normal di Johor Maternity Specialist Centre, Kluang.

“Alhamdulillah, hero lagi…Kalau nak diikutkan ini adalah hero ketiga saya, tetapi yang kedua bersama Anna.

“Apa pun saya bersyukur kerana anak dan ibu kedua-duanya berada dalam keadaan sihat,” katanya teruja.

Bagaimanapun dua hari lalu bayi kedua mereka dimasukkan kembali ke hospital kerana bacaan kuning yang agak tinggi.

“Ada pemeriksaan biasa sebenarnya. Tetapi bila bacaan kuning tu agak tinggi, baby kena tahan wad…Tapi tak lama, sehari sahaja sebab bacaannya kembali normal.

“Setakat ini, semuanya baik-baik sahaja. Terima kasih kepada yang telah mendoakan urusan isteri saya melahirkan anak kami,” katanya kepda Gempak.

Shahrol dan Anna bernikah pada 18 Mac 2016 dan dikurniakan anak lelaki yang dinamakan Iskandar Rizqi pada 8 Februari 2017.

Sebelum ini, Shahrol pernah dikurniakan anak lelaki, Muhd Adam hasil perkahwinan terdahulu.