Pelakon Shakilla Khoriri sedih apabila terpaksa berjauhan dengan anak perempuannya, Ameena Sofia selama setengah bulan.

Kata Shakilla, selain rindu dia turut risaukan keadaan anak dan suaminya, Fizi Ali yang ditinggalkan sejak minggu lepas.

"Saya mula rasa sedih sejak Ahad sebab saya terpaksa tinggalkan Ameena dan tak berjumpa Fizi sampai hujung bulan.

"Saya tak thau macam mana Fizi nak uruskan Ameena dengan kerja dia lagi.

"Tapi saya tahu dia boleh menjaga anak dia dalam keadaan baik biarlah rumah tunggang-langgang sekali pun," katanya menerusi sepotong video luahan perasaan yang dikongsikan di YouTubenya.

Tambah Shakilla, dia enggan mencampur adukkan emosi berpisah dengan keluarga dengan kerjayanya.

"Itu tempat saya cari rezeki dan orang dah bayar saya, jadi saya tak nak buat kerja sambil lewa.

"Saya tak tahu rasa sakitnya macam ini apabila kena tinggalkan anak. Saya sebak tapi tak tahu nak lepaskan pada siapa.

"Semoga pengorbanan ini berbaloi dan saya nak menangis puas-puas supaya esok lusa tak perlu fikir dah," katanya.

Ramai dalam kalangan peminat pasangan itu yang tersentuh dengan curahan hati Shakilla dan mengakui perit untuk berpisah dengan anak biarpun sekejap.

Fizi dan Shakilla mendirikan rumah tangga pada Februari 2018 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Ameena Sofia yang berusia setahun.