"Shame on you girl!" itu antara komen pelakon Sharnaaz terhadap isu yang membabitkan seorang pelajar perempuan dirotan guru selepas mengejek dengan panggilan pondan baru-baru ini.

Berkongsi kisah ketika zaman persekolahan, akui Sharnaaz hasil kaedah pengajaran 'klasik' guru-guru di sekolahnya dahulu menjadikan dirinya yang sekarang.

Malah, Sharnaaz akui pernah berdepan pelbagai bentuk didikan selain rotan ketika bersekolah.

"Aku wakil pelajar selalu kena rotan, selalu kena berdiri masa perhimpunan.

"Terima kasih cikgu kerana telah mendidik aku dengan rotan sebat Yahudi, pemadam papan hitam, tong sampah dan juga buku teks BM yang melayang ke muka.

"Kerana anda cikgu, hari ini aku berjaya menjadi seorang pelakon yang fasih menggunakan bahasa sastera dalam lakonan.

"Aku manusia hari ini kerana didikan klasik guruku," tulis Sharnaaz lagi menerusi ruangan Instastories akaun Instagramnya malam tadi.

Sebelum ini kecoh insiden yang membabitkan seorang pelajar sekolah perempuan dirotan oleh seorang guru lelaki hingga berbirat.

Puncanya kerana guru lelaki itu diejek dengan panggilan 'pondan' oleh remaja perempuan itu.

Kes itu difahamkan turut membabitkan ibu kepada pelajar perempuan itu yang turut merakamkan aksi ketika memarahi guru berkenaan.

Susulan kejadian itu, netizen meluahkan rasa kesal hingga ada yang bertindak menularkan kehidupan sebenar dan keputusan peperiksaan pelajar perempuan itu di media sosial.