Berita gembira buat peminat Westlife, salah seorang bekas anggota kumpulan tersebut iaitu Shane Filan bakal mengadakan persembahan di sini.

Menariknya, persembahan yang dibawakan secara eksklusif oleh Sime Darby Property dan dianjurkan Universal Music Malaysia ini diadakan di satu kawasan taman yang indah di atas sebuah tasik.

Bukan hanya Filan menjadi tarikan pada persembahan julung kali ini sebaliknya, acara Elmina Lakeside Concert ini turut menampilkan pelakon jelita yang semakin aktif dalam bidang nyanyian, Nur Fazura turut serta berkongsi pentas.

Acara ini dijangka berlangsung di Elmina Central Park, Shah Alam, Selangor pada 19 Januari 2019.



Bagi Nur Fazura, peluang beraksi bersama Filan disifatkan sebagai satu penghargaan apabila bekerjasama dengan penyanyi antarabangsa itu.

"Saya peminat Weslife sejak dulu lagi, tak sangka pula sekarang Shane ada album sendiri. Teruja sudah tentu apabila Universal Music Malaysia bertanya pada saya untuk bekerjasama dengannya.

"Weslife dikenali secara global dan Shane Filan membina nama di Asia. Apa yang paling penting, saya berjumpa dengan dia nanti, nak tengok sama ada keserasian antara kami," katanya selepas ditemui pada majis sidang media Pelancaran Konsert Elmina Lakeside di Shah Alam, Selangor, semalam.



Ujarnya, dia yang bernaung di bawah syarikat rakaman, Universal Music Malaysia juga mempunyai perancangan untuk menghasilkan lagu duet bersama Filan.

"Memang tahun lepas dah pelan nak buat kolaborasi bersama tapi masing-masing sibuk. Untuk album kedua pada tahun depan, mungkin ada lagu duet bersama Shane jika segalanya berjalan lancar.

"Belum jumpa dengan dia lagi, tunggu masa persembahan pertama nanti. Lagu baru itu nanti tidak pasti lagi sebab ia masih di peringkat awal, mungkin ciptaan komposer tempatan atau antarabangsa," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak, IG @shanefilanofficial & @missfazura