Tiga selebriti popular dari latar belakang muzik berbeza digabungkan dalam satu persembahan pentas yang bakal berlangsung di sini tidak lama lagi.

Bagi peminat kumpulan Westlife, kehadiran salah seorang anggota kumpulan itu, Shane Filan ke Malaysia sempena Elmina Lakeside Concert suatu yang dinantikan.

Vokalis utama kumpulan antarabangsa itu dijangka hadir untuk bersama peminat dalam acara tersebut yang dijadualkan diadakan di Elmina Central Park, Bandar Elmina, Shah Alam pada 19 Januari ini.

Selain Filan, acara yang dibawa secara eksklusif oleh Sime Darby Property dan dianjurkan oleh Universal Music Malaysia ini turut mempersembahkan pelakon jelita, Nur Fazura sebagai penyanyi tempatan yang membuat persembahan pentas.

Selebriti jelita itu akan tampil menyampaikan beberapa buah lagu untuk pengunjung yang hadir pada acara ini yang dibuka secara percuma.

Tidak ketinggalan, artis tempatan kontroversi iaitu Namewee dijemput sama untuk berkongsi pentas dalam persembahan julung kali ini.

Acara akan bermula jam 5.30 petang dengan pelbagai permainan dan aktiviti untuk keluarga seperti belon udara panas, Cinema 12D, perlumbaan go-kart, acara memanjat dinding, permainan laser dan trak makanan. Konsert pula dijadualkan bermula pada jam 8 malam.

Teks oleh: Elrafaei Sapi