HIBURAN

Sharifah Aleya Anggap Tindik Hidung Perkara Biasa, Suami Pun ‘Approved’ - “Memang Dah Lama Teringin Nak Buat Termasuk Kening & Lidah Tapi…”

Asyikin Mayudin 25/05/2025 | 21:55 MYT
Menganggap menindik hidung merupakan sesuatu perkara yang biasa, pelakon dan penyampai radio, Sharifah Aleya bagaimanapun mendedahkan dia ada menerima kecaman daripada netizen berhubung penampilannya itu.

Sekadar aksesori

Menerusi video temu bual di TikTok Mingguan Wanita, Aleya atau nama lengkapnya Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid Al-Yahya, berkata, subang hidung yang digayakan itu hanyalah sekadar aksesori biasa yang sudah lama diidamkannya.

“Saya akui memang menerima komen negatif daripada netizen kerana menindik hidung. Bertenang, ini sekadar subang hidung,” katanya.

Bukan sahaja bahagian hidung, pelakon berusia 43 tahun ini turut memberitahu dia pernah menyimpan keinginan untuk bertindik di kening, bibir dan lidah.

Penjagaan rapi

Bagaimanapun keinginan itu terpaksa dilupakan selepas menyedari kesan serta pantang larang yang perlu ditanggung, termasuk memerlukan penjagaan rapi.

“Saya memang dah lama teringin nak buat termasuk di bahagian kening dan lidah. Tapi nak pakai di bahagian kening agak remeh, kena pakai saiz yang betul sebab kalau tidak dia kana jatuh.

“Jadi saya takut sebab dia akan meninggalkan parut. Di bahagian lidah pula, banyak pantang larang contohnya, saya perlu makan makanan yang lembut selama dua minggu dan tak boleh makan makanan pedas.

“Saya pula seorang yang suka makan pedas. Jadi saya lupakan hasrat untuk tindik lidah,” katanya.

Sokongan suami

Tambah Aleya lagi, tindakan dia menindik hidung juga mendapat sokongan daripada suaminya selain menegaskan tiada keperluan untuk dirjnya mendapatkan persetujuan orang lain untuk menyukai penampilannya itu.

“Pada akhirnya itu hanyalah subang hidung. Saya menyukainya. Suami saya suka. Cuma ibu dan bapa saya saja ada bertanya tak sakit ke tindik di bahagian hidung. Tetapi mereka tidak marah.

“Mak saya kadang-kadang puji bila saya bertukar-tukar subang. Saya suka, korang tak suka tak apa," ujarnya.

Aleya turut menyatakan kesediaannya untuk menanggalkan subang hidung sekiranya diminta berbuat demikian bagi menjayakan sebarang program televisyen atau penggambaran.

“Lagipun subang ni boleh ditanggalkan blila-bila masa sahaja. Kalau untuk tujuan pengambaran kalau diarah untuk tanggalkan dan saya akan berbuat demikian. Itu bukan masalahnya. Sebab saya pun faham,” ujarnya.

undefined
#Sharifah Aleya #Subang Hidung #Tindik Hidung #Tindik lidah