Tindakan pelakon Sharifah Rose bersalaman dengan artis daripada Thailand iaitu Bright Vachirawit di sebuah acara produk penjagaan kulit baru-baru ini menerima kritikan netizen.

Pada mulanya hanya melambai sahaja, Rose berkata dia menyambut salam Bright yang sudah menghulurkan tangan terlebih dahulu atas dasar enggan bersikap biadab.

“Masa di acara itu, tak ada sesi untuk taklimat lagi. Masa itu, saya hanya lambai saja tapi dia yang hulur tangan untuk salam. Saya rasa agak rude la sebab mungkin dia tak tahu budaya kita kan.

“Jadi, saya sambut tangan dia sebagai menghormati la. Saya pun tidaklah berlebih-lebihan. Saya sambut tangan pun sebab dia hulur,” katanya kepada Gempak.

Sharifah Rose berkata demikian ketika ditemui di Rizman Ruzaini Fall Winter 2023 dan Raya 2023 yang diadakan di Hotel ST Regis, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Biarpun menerima kecaman, namun Rose sudah terbiasa dengan netizen yang sentiasa ingin mempertikaikan setiap apa yang dilakukan.

“Saya rasa, biasalah netizen semua benda nak pertikaikan. As long as bagi saya benda itu tak ada berlebih, hanya salam sebab menghormati saja,” ujarnya.

Terdahulu, netizen menganggap tindakan Sharifah Rose bersalaman dengan artis Thailand itu tidak bersesuaian dengan imejnya yang bertudung.