Pelakon Sharnaaz Ahmad, 36, meluahkan rasa marah terhadap golongan yang pergi bercuti dan berbasikal tempoh hari yang lalai sehinggakan menyebabkan pertambahan kes positif Covid-19 di negara.

Menurut Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad berkata ada dalam kalangan individu yang rapat dengan dirinya terkesan akibat musibah itu.

"Saya tak batak populariti tapi hanya nak bagitau. Ramai yang di negeri zon hijau dah berubah warna lain. Saya nak pesan kepada geng-geng yang pergi bercuti itu hari. Saya sendiri kayuh basikal, tapi takda la masuk tournament.

"Tapi sekarang ini disebabkan hampa konon nak recovery ride, ramai yang berjangkit, ada kedai makan yang kena tutup. Hampa pikiaq (fikir) tak semua tu sebelum buat?

"Ada pula yang konon pergi kayuh untuk sihatkan badan. Habistu balik jumpa merata orang. Kita berada dalam keadaan yang sangat crucial. Aku masih tak faham yang hampa tau tempat itu berkemungkinan berjangkit, tak boleh ka kuarantin kendiri dulu kat rumah lepas buat swab test?

"Saya cakap sebab benda ni terkesan dengan orang-orang yang rapat dengan saya. Tak payah sebut nama. Saya cakap sebab saya marah dengan yang buta perut ni.

"Bila dah jadi kena dekat anak kecil, apa patut buat? Perkataan maaf tu kadang-kadang kita boleh terima, tetapi maaf atas buta perut tu minta penampar. Saya seru, tolong sama. Orang lain baru nak bernafas balik," katanya menerusi sebuah rakaman video yang dimuat naik di Instagram (IG).

Tambah pelakon filem Jebat, dia khuatir kerajaan akan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di semua negeri.

Justeru, dia menyeru agar individu dan kontak rapat yang terlibat melakukan tanggungjawab dengan menjalani kuarantin kendiri di rumah.

"Saya risau nanti mai PKP balik. Sekarang ni banyak penggambaran yang dah mula henti shoot, macam mana nak cari makan? Sejarah mungkin berulang. Orang akan hentam artis macam kita disebabkan nila setitik.

"Nak cakap tak guna dah tapi satu ja nak pesan. Minta maaf tu boleh tak kita elak jangan buat. Duduk rumah, dah tau ada kontak rapat. Kepada yang buta perut, tolong dengar cakap. Lain kali jangan bising, bila tak boleh keluar rumah. Apapun, semoga semua selamat," katanya lagi.

Sebelum ini, pelakon Harris Annuar memaklumkan bahawa dirinya positif jangkitan Covid-19 selepas menjalani ujian saringan yang pertama.

BACA: Harris Annuar Sah Positif Jangkitan Covid-19

Finalis Hero Remaja 2017 ini baru sahaja selesai menyahut cabaran berbasikal dari Kuala Lumpur ke Pulau Langkawi pada hujung Disember tahun lalu.