Pelakon Sharnaaz Ahmad menyuarakan luahan tentang harga penghantaran (price delivery) barang dan makanan yang tidak masuk akal.

Menurut Sharnaaz, dia terkejut apabila jarak dari satu tempat ke satu tempat tidak jauh namun mengenakan bayaran yang melampau.

"Aku tak tahu benda ini sudah ada sebelum ini atau baru sekarang. Anda perasan tak, 'price delivery' agak gila. Beli barang RM5 tapi kos penghantaran RM20. Keseluruhan RM25 untuk harga barang yang RM5.

"Perjalanan bukan jauh pun. Bukan Mont Kiara ke Kajang. Kalau dari TTDI hantar ke Mont Kiara RM20, naik motor, apa benda?

"Siapa yang kawal harga ini? Dengan keadaan kita sekarang ini, kita hanya ada satu pilihan untuk membeli makanan dan barang. Aku bukan marah, hanya ingin bertanya siapa yang menjaga dan kawal dari segi harga itu," katanya menerusi akaun Youtube Sharnaaz Ahmad Tv.



Dalam pada itu, pelakon filem Polis Evo 3 menjelaskan tindakannya bersuara bukan ingin mengecam 'rider' namun ingin berbincang supaya jelas mengenai pengiraannya.

"Aku perasan dah banyak kali. Bukan nak kecam 'rider', aku sayang mereka. Mereka sudah jalankan kerja yang terbaik sebab jadi frontliner.

"Tetapi aku tak tahu pengurusan macam mana yang buat sesuatu benda dah jadi tekanan kepada rakyat. Ini dari perspektif aku.

"Kalau betul benda ini salah, aku minta maaf. Tapi bagi aku, memang tak berapa cantik la. Harga macam mana kira? Terlampau mahal. Kenapa terlampau mahal?

"Macam yang terjadi pada aku. Dia dari TTDI nak hantar barang dekat aku di Mont Kiara tapi harga penghantaran RM17. Jarak tak sampai 5 kilometer.

"Dia nak juga harga itu, kami tiada pilihan. Kalau ada pilihan, aku dah naik motor pergi sendiri. Sekarang ini medium yang kami gunakan sedang dicemari dan disalah guna kuasa. Kalau aku silap, kita boleh bincang.

"Aku bukan saja nak buat video ini dan tak tahu betul atau akan kena kecam semula. Aku hanya ingin menyuarakan untuk mendapatkan penjelasan. Mungkin aku tak dijelaskan selama ini.

"Kalau aku bodoh, aku minta maaf. Aku boleh mengaku diri bodoh. Kalau aku diajar mengenai perkara ini, korang boleh tolong ajarkan," katanya lagi.