Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
HIBURAN

“Sheila On 7 Band Hebat, Kalau Berpeluang Berkolaborasi Mengapa Tidak?” -  Siti Nurhaliza

Khairil Khusyairi 28/04/2025 | 21:50 MYT
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil perjelas spekulasi dalam kalangan peminat bahawa kolaborasi antara beliau dan kumpulan popular Indonesia, Sheila On 7 bakal menjadi kenyataan dalam masa terdekat.
Menjelaskan perkara itu, Siti berkata setakat ini belum ada perancangan, namun beliau sama sekali tidak menolak idea tersebut dan menyatakan keterbukaannya untuk bekerjasama dengan band yang cukup berpengaruh itu.
“Ada wartawan bertanyakan kepada saya, siapa lagi artis Indonesia yang belum bekerjasama dengan saya?
“Dalam ramai-ramai itu, saya sudah bekerjasama dengan Kris Dayanti, Cakra Khan, Judika dan beberapa lagi. Soal wartawan itu, siapa lagi?
“Yang sekarang ini peminat nantikan kemunculan mereka, saya jawab Sheila On 7. Itu sahaja. Bila orang dengar mereka sangka akan berkolaborasi tetapi belum lagi.
“Kalau berpeluang, kenapa tidak? Sheila On 7 pada saya band yang sangat hebat,” katanya kepada Gempak.
Terdahulu, Siti mencuri perhatian apabila menyebut nama band popular Sheila On 7 sebagai salah satu kumpulan yang ingin beliau bekerjasama jika diberi peluang.
Bagaimanapun, jawapan ringkas itu menyebabkan ramai peminat mula berteka-teki dan menyangka Siti akan berkolaborasi bersama Sheila On 7.
Sheila On 7 yang dianggotai oleh Duta, Eross dan Adam itu dikenali sebagai antara band paling ikonik di Indonesia dengan deretan lagu hits seperti Dan, Sephia, Melompat Lebih Tinggi, Sahabat Sejati, Memori Baik dan banyak lagi.
#Siti Nurhaliza #Sheila On 7 #Indonesia #peminat #Malaysia #Band #Kolaborasi #Impian #Spekulasi