Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Sheila Majid Ambil Masa 3 Tahun Hasilkan Album Boneka

Syafiqah Jalal 13/04/2017 | 10:55 MYT
Ratu jazz negara, Dato' Sheila Majid mengambil masa tiga tahun untuk menyiapkan album terbaharunya, Boneka.
Sheila atau nama sebenarnya Shaheila Abdul Majid, 51, berkata dia memberikan yang terbaik untuk albumnya kali ini setelah 13 tahun menyepi tanpa album studio penuh.
"Sebenarnya perancangan untuk menghasilkan album ini bermula sejak tiga tahun lalu sempena ulangtahun 30 tahun saya dalam industri.
"Ketika itu saya hanya memikirkan untuk hanya memuatkan lima buah lagu saja.
"Bagaimanapun setahun selepas itu, proses pembikinan album ini terhenti kerana daripada 100 buah lagu yang saya terima, hanya empat lagu yang betul-betul sesuai dengan saya.
"Sehinggalah pada Mei tahun lalu ketika saya mengadakan konsert di Jakarta, saya sempat bertemu dengan Tohpati dan dia berikan saya dua buah lagu untuk saya dengar dan terus saya suka.
"Akhirnya setelah berbincang dengan Tohpati mengenai album saya, maka terhasil Boneka yang memuatkan 10 lagu," katanya kepada Astro Gempak.
Mengulas mengenai pemilihan lagu Boneka sebagai judul albumnya, Sheila memberitahu lagu itu begitu signifikan dengan dirinya.
"Saya meletakkan diri seperti boneka sewaktu berada di atas pentas selama 32 tahun dalam industri seni.
"Saya adalah boneka untuk menghiburkan khalayak dengan imej penuh glamor dan selayaknya sebagai seorang penghibur.
"Namun hakikatnya, saya adalah seorang individu biasa tetapi bekerja dalam ruang pekerjaan high profile.
"Jadi apa yang dipersembahkan, ditonton oleh khayalak itu hanya satu boneka,"katanya lagi.
Teks oleh Syafiqah Jalal
#Pelancaran Album #Shila Majid
;