Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Sheila Majid Menyanyi Kerana Hobi, Tak Sangka Jadi Karier Bertahan 32 Tahun

Syafiqah Jalal 19/12/2016 | 06:03 MYT
Penyanyi Datuk Sheila Majid akui tidak menyangka menyanyi yang pada mulanya dilakukan sebagai hobi, menjadi kerjayanya dan bertahan selama 32 tahun.
Sheila Majid atau nama sebenarnya Shaheila Abdul Majid berkata dia percaya minat yang mendalam dalam sesuatu bidang serta restu ibu bapa boleh membuatkan seseorang itu berjaya dalam kehidupannya.
"Kalau hendak mengimbas kembali kisah bagaimana saya boleh berada dalam bidang ini sebenarnya saya mula menyanyi ketika saya sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika itu.
"Saya meminta izin bapa saya untuk keluar menyanyi membuat persembahan suka-suka sahaja ketika itu tetapi kini dengan restunya saya masih lagi bertahan sehingga kini.
"Walaupun saya hanya bermula dengan hobi tapi saya percaya minat yang mendalam kepada sesuatu bidang yang diceburi kita akan berjaya," katanya kepada Astro Gempak.
Sheila ditemui selepas dia menerima Anugerah Sri Wirama di malam kemuncak Anugerah Industri Muzik yang ke-22 (AIM 22) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam Ahad.
Mengulas mengenai anugerah tersebut, Sheila berkata ia satu pencapaian dan anugerah yang sangat bermakna dan tidak ternilai dalam karier seninya.
"Anugerah ini sangat bernilai kepada diri saya kerana ia bagai satu pencapaian dalam 32 tahun saya dalam industri seni muzik ini.
"Apa yang penting ia anugerah yang bukan atas dasar populariti tetapi dinilai oleh orang-orang yang arif dalam bidang muzik," katanya lagi.
Terdahulu, Anugerah Sri Wirama telah diberikan kepada anak-anak seni lain yang mempunyai banyak pencapaian dan berjasa lama dalam industri muzik antaranya Dato' Ramli Sarip, M. Nasir, Habsah Hassan, S. Atan dan ramai lagi.
Teks oleh: Syafiqah Jalal
#AIM 22 #Anugerah Industri Muzik #Sheila Majid
;