#Sheriff: Raih RM6.4 Juta Dalam 3 Hari Tayangan, Netizen Kata - “Antara Filem Terbaik Pernah Ada Di Malaysia!”
Mya Amri
20/04/2024 05:45 MYT
20/04/2024 05:45 MYT
Filem arahan Syafiq Yusof, Sheriff: Narko Intergriti meraih kutipan sebanyak RM6.4 juta dalam tiga hari tayangan.
Berita gembira itu dimaklumkan menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagram rasmi Astro Shaw pada Sabtu.
“Dua hari tayangan + tayangan awal RM6.4 juta! Alhamdulillah. Sokongan korang memang mantap!
“Baru tiga hari tayangan dah mampu raih RM6.4 juta! Terima kasih atas sokongan korang semua dan mana yang masih belum tengok tu, tunggu apa lagi? Jom kita serbu panggung ramai-ramai!” maklum kenyataan itu.
Sheriff terima komen positif netizen
Memulakan tayangan awal sejak 17 April dan tayangan rasmi pada 18 April lalu, filem ini ternyata mendapat respon positif netizen.
Menerusi pemerhatian di laman sosial, netizen yang selesai menonton filem ini memberikan maklum balas baik selain memuji jalan cerita yang disampaikan.
Malah ada juga yang menyatakan hasrat ingin menonton Sheriff buat kali kedua.
Rata-ratanya menyatakan rasa puas hati dan bangga dengan naskhah terbaharu anak kepada sutradara terkenal, Yusof Haslam itu.
Sheriff merupakan terbitan dua penerbit besar tempatan iaitu Skop Productions bersama Astro Shaw, dan akan memulakan tayangan rasminya pada hari ini(18 April) di panggung wayang seluruh negara.
Selain Zul Ariffin, Sheriff juga dibintangi oleh Syafiq Kyle, Azira Shafinaz, Elizabeth Tan dan ramai lagi.
Jangan lupa temui barisan pelakon Sheriff di pawagam-pawagam terpilih sekitar Lembah Klang pada 20, 21, 27 dan 28 April.
SINOPSIS:
Sheriff menampilkan watak Nazri (Syafiq Kyle) iaitu seorang anggota polis dari Jabatan Narkotik yang merasakan masalah sindiket dadah Tony Ifrit semakin berleluasa.
Nazri berasa terdesak untuk menyelesaikan kes itu sendiri kerana Tony sering terlepas dari cengkaman undang-undang apabila melalui proses penghakiman.
Dalam masa yang sama, Sheriff (Zul Ariffin), seorang anggota daripada Jabatan Integriti telah dihantar oleh pihak IGP untuk menyelesaikan kes ‘Meth Killer’ dan dia ditugaskan bersama Nazri untuk berada di bawah satu jabatan.