Pelakon, Sherry Ibrahim meluahkan rasa kecewa apabila kisah-kisah lamanya kembali diungkit hanya untuk dijadikan sebagai bahan menyebarkan kebencian di media sosial.
Sherry menerusi kenyataan yang dikongsikan di Instagram menegaskan dia sudah lama berdamai dengan masa lalu dan berharap agar semua pihak berhenti menyebarkan perkara yang tidak benar tentang kisah hidupnya.
Advertisement
“Saya dah boleh berdamai dengan masa lalu saya, kenapa ada yang masih tak boleh? Tolonglah jangan ungkit cerita lama yang anda sendiri pun tak tahu sepenuhnya. Ia hanya menyakitkan dan menambah kebencian yang tak perlu.
“Semua orang ada masa lalu, tapi itu bukan alasan untuk anda guna kisah itu sebagai senjata. Jangan sakiti saya hanya untuk puaskan rasa negatif dalam hati.
“Kenapa nak ungkit dan post cerita lama? Kalau Sherry sendiri dah redha dan berdamai dengan takdir. Tak perlu ada yang tambah dosa dengan memburukkan lagi keadaan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Sherry turut menekankan bahawa status dirinya yang belum berkahwin bukanlah penentu kebahagiaan hidup seseorang.
“Tak semestinya saya belum berkahwin sampai hari ini bermaksud saya tak bahagia. Saya ulang, kalau saya boleh maafkan dan berdamai dengan masa lalu saya, kenapa tak anda juga buat perkara yang sama?
“Saya harap sesetengah daripada anda yang ‘haters’ boleh buka hati untuk tunjuk empati, bukan kebencian. Hanya Allah SWT yang menentukan apa yang terbaik untuk saya.
“Dari pihak saya, Sherry reda dan berserah. Saya juga selalu doakan yang terbaik untuk semua, dan sentiasa percaya pada takdir dan proses dari Allah SWT. Hanya Allah yang menentukan segalanya. Sumpah sedih dan penat,” jelasnya.
Dalam hantaran yang sama, Sherry menyeru agar masyarakat memberi tumpuan kepada isu-isu semasa yang lebih penting, berbanding terus menyerang kehidupan peribadi seseorang.
“Tolong beri perhatian kepada isu semasa dan masalah yang lebih penting di Malaysia dan dunia sekarang.
“Tolong hentikan semua perkara mengarut ini sebab saya sendiri tak kenal anda dan tak faham apa tujuan anda buat semua ini.
“Tolong jadi insan yang lebih baik, lebih matang dan jalani kehidupan yang lebih positif.
“Untuk semua yang terus menyokong saya dengan kasih sayang dan kebaikan, terima kasih. Saya benar-benar hargai anda semua. Maaf jika saya terlalu beremosi,” coretnya.
Berikut merupakan perkongsian penuh Sherry:
Untuk info, Sherry sebelum ini pernah menjalinkan hubungan cinta bersama pelakon, Fattah Amin sekitar tahun 2014 sebelum mengesahkan hubungan tersebut putus pada 2016.