Penyanyi berbakat, Shiha Zikir akui gementar untuk membuat persembahan di pentas Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) Ahad ini.

Menurut Shiha, sesi latihan yang dijalani setakat ini masih belum membuatkan dirinya berasa selesa.

"Sejujurnya saya sangat gementar, nak hilangkan rasa gugup tu saya kena cukupkan lagi latihan.

"Bagi saya, latihan yang saya jalani setakat ini masih belum cukup, saya masih belum selesa sekarang," kata Shiha kepada Gempak.

Walaubagaimanapun, Shiha tahu akan kemampuan dirinya yang selalu bekerja keras.

"Walaupun begitu, saya tahu kemampuan diri saya, saya adalah sejenis orang yang bekerja keras.

"Macam mana pun, tak kiralah saya tak cukup masa, tak cukup tidur, sesi latihan haruslah membuatkan saya rasa selesa.

"Sekarang ini, ada beberapa hari sahaja lagi, sebelum ini saya sangat sibuk dengan kerja-kerja yang tertangguh selepas PKP, jadi sekarang, saya sendirilah yang harus gunakan masa dengan sebaik mungkin," katanya lagi.

Shiha akan mempersembahkan naskah nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta berjudul 7 Nasihat.

Turut bertanding di anugerah berprestij itu adalah Zizi Kirana, Wany Hasrita & Jamal Abdillah, Aina Abdul, Ernie Zakrie dan ramai lagi.