HIBURAN

Shiha Zikir Labur Ratusan Ribu Ringgit Untuk MV Tum Tum Raya - "Ini Antara Video Muzik Termahal"

Amri Hassan 15/03/2025 | 05:56 MYT
Shiha Zikir sanggup berhabis ratusan ribu ringgit untuk menghasilkan video muzik (MV) ‘Tum Tum Raya’, menjadikannya MV termahal dalam kariernya.
Lagu raya duet bersama kakaknya, Ieda Zikir, ini bukan sekadar pelaburan wang tetapi juga usaha dan tenaga yang luar biasa.
"Ini antara video muzik termahal yang pernah dihasilkan. Banyak usaha kami dah letak untuk jayakan video muzik ‘Tum Tum Raya’ dan salah satu cabaran yang susah.
Antaranya rentak tarian yang pelbagai. Ada yang laju, ada yang perlu gerakan slow motion.
Sekitar 50 peratus gerakan yang sangat perlahan bukan satu benda yang senang sebab menari kena perlahan sambil mulut menyanyi.
Mula penggambaran dari pukul 8 pagi dan berakhir jam 6 pagi keesokannya, alhamdulillah hasilnya saya dapat apa yang saya mahukan," katanya kepada Gempak.
Shiha dan Ieda ditemui di majlis pelancaran lagu di Red Box Karaoke, The Gardens baru-baru ini.
Shiha menjelaskan, idea untuk menghasilkan 'Tum Tum Raya' tercetus melalui pemerhatiannya kepada segelintir pengguna Tik Tok yang cenderung dengan irama catchy.
"Bila buka TikTok, kebanyakan lagu latar jadi pilihan lagu-lagu catchy. Jadi saya fikir, kenapa tidak saya cuba untuk tampil dengan lagu raya berirama yang menepati selera ramai pendengar," katanya.
Pada 5 Mac lalu, Shiha dan Ieda melancarkan lagu raya baharu berjudul ‘Tum Tum Raya’ hasil ciptaan Ajay Amai dan Napie Hassan.
Video muzik ‘Tum Tum Raya’ turut mendapat kerjasama beberapa pihak antaranya pasar raya Giant Malaysia, Kimball & SF Biscuit.
#Penyanyi #Shiha Zikir #Video #MV #Kos #Ieda Zikir #Tum Tum Raya