Penyanyi Shiha Zikir dalam dilema untuk memilih jejaka yang berstatus bujang atau duda.

Semuanya diceritakan oleh Shiha dalam lagu terbarunya yang berjudul Pipiyama.

"Sebenarnya ia hanya jalan cerita lagu terbaru saya sahaja. Lagu Pipiyama merupakan single dangdut pertama saya. Alhamdulillah, ia telah dilancarkan pada penghujung tahun lalu.

"Pipiyama merupakan singkatan kepada 'pilih pilih yang mana' dan menceritakan mengenai dilema gadis yang ingin memilih pasangan hidup, sama ada jejaka bujang atau duda.

"Saya meletakkan sasaran untuk menembusi pasaran muzik Indonesia dan saya berharap Pipiyama dapat diterima dengan baik," kata Shiha.

Tambah pelantun lagu Jagakan Dia ini, Pipiyama mendapat sentuhan komposer Indonesia Atra Petrana.

"Saya memilih genre dangdut kerana ia lebih dekat dengan pendengar sasaran dan sebelum ini juga, saya sering muncul dengan lagu balada.

"Seleps tamatnya D Academy Asia, peminat Indonesia memang menantikan saya muncul dengan lagu bergenre dangdut," katanya lagi.


Shiha juga sedang merancang untuk mengeluarkan single baru bagi pasaran Malaysia.

Single Pipiyama merupakan single kedua terbitan SZ Entertainment, syarikatnya sendiri selepas single Jagakan Dia.

Di bawah SZ Entertainment, Shiha juga menguruskan Kay Khydir yang kini muncul dengan single Bukan Bahagiaku.