Penyanyi berbakat, Shiha Zikir berkongsi tentang perancangannya untuk tahun 2021 yang baru bermula.

Menurut Shiha, dia bersyukur kerana pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) bakal menjadi pembukaan yang baik untuk 2021.

"Alhamdulillah, tahun lepas saya telah menyertai Dansa Dan Sing dan aktif berlakon, untuk tahun ini pula, pentas AJL35 menanti saya bagi mewakili Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu 7 Nasihat, bagi saya itu merupakan permulaan tahun yang baik.

"Insya-Allah, dalam tahun ini juga, saya merancang untuk melancarkan single terbaru, sekarang masih dalam proses mengumpul material," katanya ketika dihubungi Gempak.

Tambah Shiha, dia juga akan terus aktif berlakon jika keadaan berhadapan pandemik terkawal.

"Memandangkan banyak persembahan nyanyian tidak dapat diadakan ketika pandemik ini, jadi, saya akan terus aktif berlakon. Saya pun memang sangat berminat dalam bidang lakonan.

"Jika semua berjalan lancar, saya akan muncul dalam tiga buah drama setakat ini dan akan sibuk dengan lakonan sehingga pertengahan tahun.

"Pada masa yang sama, saya juga tidak akan mengetepikan bidang nyanyian kerana itu tetap satu keutamaan," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, penyanyi lagu AEWO ini juga akan muncul sebagai salah seorang juri dalam program All Together Now yang akan menemui anda tidak lama lagi.

Shiha berharap graf kerjayanya akan terus meningkat dalam tahun 2021 ini.

"Alhamdulillah, permulaan tahun ini sangat baik, mudah-mudahan graf kerjaya saya akan perlahan-lahan menaik," tuturnya menutup bicara.

All the best Shiha Zikir!