Shin Hyun Been Tertarik Dengan Skrip Cinderella At 2AM, Moon Sang Min Pula Rupanya Peminat…
Mya Amri
04/10/2024 15:55 MYT
04/10/2024 15:55 MYT
Pelakon Korea, Shin Hyun Been dan Moon Sang Min merupakan antara gandingan segar bagi drama Cinderella At 2AM.
Jatuh hati dengan skrip
Keserasian kedua-duanya dalam melakonkan watak Ha Yoon Seo (Hyun Been) dan Seo Joo Woon (Sang Min) ternyata membuatkan ramai yang jatuh hati.
Baru-baru ini Gempak diberi peluang untuk menemubual Hyun Been dan Sang Min berkenaan drama Cinderella At 2AM yang ditayangkan di platform VIU.
Ditanya mengenai reaksi mereka sewaktu mendapat tawaran, Hyun Been menyatakan dia menyukai naskhah itu kerana skripnya sangat menghiburkan.
“Masa saya pertama kali baca skrip, saya terfikir ia sangat menghiburkan. Terdapat beberapa adegan yang saya pernah lihat dalam drama komedi romantis tetapi untuk drama ini, adegan itu dipersembahkan dengan cara yang segar melalui plot twist.
“Jadi saya tidak teragak-agak untuk menerimanya dan merasakan sebahagian naskhah itu sangat menghiburkan,” katanya kepada Gempak.
Peminat Hyun Been
Sementara itu, Sang Min pula mengakui dia merupakan peminat Hyun Been dan rasa berbesar hati apabila dapat digandingkan bersama.
“Untuk saya pula, saya sangat bersetuju dengan Hyun Been. Bila pertama kali lihat tajuknya, Cinderella At 2AM, saya terfikir jika pemain utama wanita adalah Cinderella, maka teraju utama lelaki pula mesti menjadi puteranya.
“Jadi saya terfikir itu satu perkara yang bagus dan sejujurnya tajuk drama itu sendiri juga membuatkan saya tertarik untuk membintanginya.
“Pada ketika itu saya juga mendapat tahu yang Hyun Been sedang meneliti skrip, saya pula memang peminatnya.
“Jadi secara tidak langsung perkara itu membuatkan saya lebih mendalami skrip semasa membacanya,” ujarnya.