Shio Teruja Diberi Peluang Nyanyi Dan Hasilkan Lagu Tema Filem The Garden of Evening Mists

ZULHILMI JALIL
Januari 12, 2020 02:55 MYT
Penyanyi Shio mengakui berasa teruja dan bangga apabila diberikan peluang untuk menyanyikan lagu tema filem bertaraf antarabangsa, The Garden of Evening Mists (TGOEM).
Lebih bermakna lagi, Shio atau nama sebenarnya, Quek Shio Yee, yang juga merupakan seorang komposer memberitahu, dia turut diberikan kepercayaan untuk menghasilkan sendiri lagu tema filem tersebut yang berjudul Exist.
"Saya menerima peluang untuk menyanyikan lagu ini apabila bos saya perkenalkan saya kepada pihak produksi.
"Kebetulan ketika itu, pengarah filem ini, Tom Shu-Yu Lin (dari Taiwan) mahukan seorang penyanyi tempatan dan dia pernah mendengar mengenai saya, jadi dari situlah kerjasama ini terjalin," katanya kepada Gempak.
Menurut Shio lagi, dia menghasilkan lagu Exist itu berdasarkan jalan cerita yang ditampilkan dalam filem berkenaan.
"Saya diajak pergi ke studio untuk menonton sendiri cerita tersebut. Ketika itu filem ini belum lagi siap sepenuhnya, bahkan ia belum menjalani proses suntingan pun.
"Jadi, selepas menonton, saya sendiri berasa kagum dengan jalan cerita yang disampaikan dan dari situ saya mula membuat kajian mengenai jalan cerita filem ini untuk menghasilkan lagu Exist," katanya yang merupakan komposer dan penulis lirik bagi lagu tersebut.
Menurut Shio lagi, lagu dan lirik yang dihasilkannya itu kemudian mendapat sentuhan penyusun skor muzik, Hseih Tung Liang.
"Saya berasa gembira apabila mereka (produksi) sukakan lagu yang saya hasilkan itu.
"Saya juga berterima kasih kepada pengarah filem ini yang turut sama-sama membantu saya dalam penghasilan lirik agar kisah penceritaan itu lebih tepat ," katanya yang merupakan graduan Kolej Universiti Antarabangsa Sedaya dalam jurusan muzik.
Shio merupakan penyanyi kelahiran Batu Pahat, Johor yang kini sudah lima tahun mencipta nama di Taiwan.
Bakatnya mula dilihat selepas menyertai program realiti The Ultimate Song pada 2013 terbitan sebuah stesen televisyen tempatan.
TGOEM merupakan filem adaptasi novel hasil karya anak tempatan, Tan Twan Eng yang menceritakan kesengsaraan kehidupan Teoh Yun Ling (lakonan Sinje Lee) akibat kekejaman Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu yang cuba mencari ketenangan di Cameron Highlands.
Bagaimanapun, sewaktu di sana, ketika dia berusaha untuk membina sebuah taman bagi menzahirkan penghormatan kepada adik perempuannya yang terkorban, dia menjalin hubungan cinta terlarang bersama seorang tukang kebun bernama Nakamura Aritomo (lakonan Hiroshi Abe).
Jadi, jangan lupa saksikan filem terbitan Astro Shaw dan HBO Asia itu yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 16 Januari ini.
BACA: Baru Tengok Trailer Tapi Ramai Yang Dah Tak Sabar Nak Tonton The Garden Of Evening Mists, Filem Wajib Tengok Ni!
#The Garden of Evening Mists #Shio